Ibadah

6 Adab Penting Dalam Berdoa

Oleh Natirah Azira  •  4 Jun 2020  •  3 min baca

Doa adalah penghubung seorang hamba kepada Tuhannya. Memang Allah sudah tahu apa yang disembunyikan dalam hati, tetapi doa ibarat bukti bahawa kita masih ingin berkomunikasi dengan Allah. Ia bukti bahawa kita masih ingin ‘meluah’ segala yang terbuku di hati.

Dalam artikel kali ini, Tzkrh ingin berkongsi kepada anda 7 adab penting dalam berdoa.

#1- Memuji Dan Mengagungkan Allah Sebelum Berdoa

Memuji Allah adalah adab dalam berdoa. Ibaratnya kita benar-benar mengakui kemuliaan Allah sebagai Tuhan Yang Memiliki dan Menguasai seluruh alam ini serta makhluk yang ada. Ia boleh dicontohi berdasarkan firman Allah sendiri daripada surah Al-Fatihah.

Ayat 1 hingga 5 surah ini berisi pujian kepada manakala ayat ke-6 barulah permintaan doa kepada Allah yang berbunyi;

اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ

Maksudnya: “Berilah kami hidayah kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Fatihah 1:6)

#2- Berselawat Kepada Nabi SAW Apabila Berdoa

Perkara ini pernah diceritakan dalam sebuah hadis bertaraf hasan bahawa Fudholah bin ‘Ubaid berkata bahawa Nabi SAW pernah mendengar seseorang memohon doa dalam solatnya tetapi tidak berselawat kepada Nabi SAW.

Lalu Nabi SAW berkata bahawa orang tersebut terlalu tergesa-gesa dalam berdoa. Baginda kemudian memanggilnya lalu menegur dan mengajarkan cara berdoa yang betul.

“Jika salah seorang di antara kalian berdoa, maka mulailah dengan memuji Allah, menyanjungNya, lalu berselawat kepada Nabi SAW, lalu mintalah doa yang diinginkan”.

Manakala dalam satu hadis lain disebutkan bahawa doa akan tergantung di antara langit dan bumi selagi tidak berselawat kepada Nabi SAW.

Umar ra pernah mengatakan,

إِنَّ الدُّعَاءَ مَوْقُوفٌ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ لاَ يَصْعَدُ مِنْهُ شَىْءٌ حَتَّى تُصَلِّىَ عَلَى نَبِيِّكَ -صلى الله عليه وسلم

“Sesungguhnya doa itu diam antara langit dan bumi, tidak naik ke atas hingga engkau berselawat kepada Nabimu SAW” (HR. Tirmidzi, no. 486 – Syaikh Al-Albani menyatakan hadis ini hasan)

#3- Cara Menadah Tangan Ketika Berdoa

Terdapat dua cara menadah tangan ketika berdoa yang disebutkan oleh Ibnu Rajab Al-Hambali:

– Mengangkat tangan dengan menjadikan bahagian belakang tangan mengarah ke kiblat sedangkan bahagian telapak tangan diarahkan ke wajah. Ini adalah cara yang dipraktikkan oleh Nabi SAW bagi doa istisqa.

– Berdoa dengan menjadikan bahagian tapak tangan menghadap ke langit dan bahagian belakang tangan dihadapkan ke bawah.

#4- Bersangka Baik Kepada Allah

Antara peringatan yang sering disebutkan ketika memohon sesuatu daripada Allah ialah bersangka baik terhadap Allah, bukan hanya yakin akan dikabulkan malah bersangka baik bahawa Allah mendengar doa yang dipohonkan, tidak berfikir bahawa Allah tidak mahu mengampunkan dan sebagainya.

Abu Hurairah RA berkata: “Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah telah berfirman: Aku selalu mengikuti sangkaan hambaKu, dan Aku selalu menyertai dia di mana ia ingat kepadaKu…” (Petikan hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

#5- Meyakini Bahawa Allah Akan Menerima Permohonan Doa Tersebut

Daripada Abi Hurairah ra katanya, Rasulullah SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ ، وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Maksudnya: Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan. Dan ketahuilah kamu bahawa Allah SWT tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa. (Riwayat al-Tirmizi, no.3479)

#6- Tidak Tergesa-gesa Dalam Berdoa

Tergesa-gesa yang dimaksudkan di sini adalah orang yang tidak sabar dan berputus asa dalam memohon doa kepada Allah.

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa orang yang tergesa-gesa ialah yang berkata bahawa, “Sungguh aku telah berdoa dan berdoa, namun tidak juga aku melihat doaku dikabulkan. (HR. Muslim, no. 2735)

#7- Memastikan Diri Tidak Memakan Dan Menggunakan Perkara Haram

Pra syarat doa yang dikabulkan adalah memastikan diri tidak memakan atau mengguna pakai barang yang sumbernya haram. Rasulullah SAW menempelak orang yang meminta kepada Allah dalam keadaan tidak membersihkan dirinya daripada perkara haram – makan dan minum daripada sumber yang haram, memakai pakaian yang haram dan seumpamanya.

Kesimpulannya, adab berdoa itu bukan hanya perilaku ketika menadah tangan berdoa sahaja. Ia perlu dititik beratkan setiap masa kerana merangkumi keyakinan hati yang mesti dijaga, tumpuan fikiran ketika berdoa, cara berdoa, isi kandungan doa itu sendiri dan lain-lain lagi.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami