Inspirasi

5 Teknik Ringkas Ini Berupaya Menjadikan Anda Berdisiplin

Oleh Natirah Azira  •  8 Sep 2020  •  4 min baca

Saya pernah tertanya-tanya bagaimana orang-orang yang saya kagumi di sekeliling saya kelihatan begitu hebat dan berdisiplin terutama dalam persoalan mengurus masa. Lihat sahaja golongan ibu-ibu, pagi-pagi sebelum Subuh lagi mereka sudah mampu bangun, malah selalunya tanpa bantuan jam penggera!

Kemudian hari dilalui dengan sangat padat walaupun sebagai seorang suri rumah. Selepas masak dan bersarapan, mereka akan ke pasar, atau keluar menyiram dan menanam pokok, mengemas rumah dan menjemur baju, kemudian memasak pula untuk makan tengah hari, dan berterusan dengan aktiviti seterusnya.

Setelah mengamati, saya menyedari suatu perkara – disiplin itu dibentuk dengan rutin, kesedaran serta tanggungjawab. Seseorang tidak akan dipanggil berdisiplin kecuali jika dia sudah dapat mengawal rutinnya dengan baik.

Jadi bagaimana untuk menjadi seorang yang berdisiplin dengan apa jua perkara dalam kehidupan? Kuncinya, ia mesti bermula daripada hal-hal kecil dalam hidup. Berikut 5 perkara yang jika dilakukan, mampu membantu anda menjadi seorang yang lebih berdisiplin.

#1- Mulakan Dengan Menunaikan Janji Kecil Kepada Diri Sendiri

Maksudnya di sini, anda perlu menunaikan janji yang anda katakan pada diri sendiri. Contohnya anda menetapkan satu azam hari ini, iaitu setelah selesai memasak, anda akan peruntukkan masa untuk membasuh semua perkakas dan mengemas dapur dengan baik.

Bermakna, apa jua alasan yang direka-reka dalam kepala untuk menangguhkannya tidak boleh diterima.

#2- Kenal Pasti Perkara Yang Menghalang Anda Jadi Lebih Berdisiplin

Apabila sebut tentang berdisiplin, ia tidak semestinya anda terus berubah 360 darjah menjadi orang yang bangun pukul 5 pagi, ambil sarapan sihat setiap hari, bersenam setiap hari dan sebagainya.

Kadang-kadang, cara mudah yang boleh anda lakukan adalah dengan mengenal pasti penghalang yang membuatkan anda jadi tidak berdisiplin.

Contohnya hilangkan habit menatal skrin telefon sebaik sahaja bangun daripada tidur, atau tidur lambat kerana menonton cerita kemudian terlambat bangun, atau menyambung semula tidur pagi sehingga menyebabkan terlewat ke tempat kerja dan seumpamanya.

Hari ini, pilih satu hal yang ingin anda ubah dalam hidup anda yang menghalang anda jadi seorang yang berdisiplin.

#3- Mulakan Dengan Langkah Kecil Seperti Bangun 5 Minit Lebih Awal!

Usah terus fokus kepada azam yang besar. Mulakan dengan yang kecil.

Jika selama ini anda bangun pukul 6.30 pagi, maka simpan azam untuk bangun 5 minit lebih awal iaitu 6.25 pagi. Ia mungkin nampak kecil dan tidak memberi apa-apa impak. Tetapi percayalah bahawa ia mampu mengubah hidup anda dengan perlahan-lahan.

Pernahkan anda terlewat sampai ke suatu tempat dan berharap anda bersiap 5 minit lebih awal. Inilah gunanya 5 minit tersebut.

Daripada 5 minit, anda boleh menambahnya kepada 10 minit kemudian 15 minit dan semakin lama anda sudah mampu bangun awal pagi dan sempat melakukan banyak perkara.

#4- Bayangkan Apa Yang Anda Mahukan Dengan Jelas

Untuk memastikan apa yang telah diusahakan tetap berjalan, anda perlu mempunyai objektif dan destinasi yang jelas tentang apa yang anda mahukan. Anda perlu visualize dan bayangkan dengan jelas apa yang anda mahukan.

Contohnya, anda ingin menjadi seorang yang mempunyai berat badan yang ideal dalam masa setahun dan sering bersenam setiap minggu, atau anda ingin menjadi orang yang tidak lagi culas dan datang awal ke tempat kerja.

Matlamat ini akan menjadi kompas kepada setiap usaha kecil yang akan tetap diteruskan.

#5- Fahami Bahawa Berdisiplin Menyebabkan Kehidupan Jadi Lebih Mudah

Jika anda seorang yang mengalami kesukaran mengurus masa dan kehidupan selama ini, anda mungkin dapat merasakan bahawa ia berpunca daripada rutin yang tidak teratur dan sikap sendiri yang tidak berdisiplin.

Jika anda fikirkan dengan mendalam, menjadi seorang yang berdisiplin akan memudahkan hidup anda dalam pelbagai aspek. Ia dapat menjimatkan masa, mengurangkan stres dan menjadikan anda lebih gembira.

Bayangkan jika anda bangun lebih awal, anda dapat melakukan banyak perkara, tidak tergesa-gesa ke tempat kerja dan tidak kepenatan apabila sampai kerana tergesa-gesa mengejar masa.

Kesimpulan

Orang yang bijak adalah orang yang menyedari kelemahan yang ada dan bertindak memperbaikinya. Jika selama ini kita hanya kagum melihat orang yang berdisiplin, maka mungkin ini masanya untuk kita sendiri melalui proses ini.

Mungkin ada hari-hari di mana ada terasa malas dan ingin kembali kepada rutin yang lama, namun ketahuilah bahawa hal tersebut tidak akan membawa anda ke mana. Sikap disiplin perlu dibentuk dengan usaha yang berterusan. Semoga di akhirnya kita akan menjadi insan yang lebih berdisiplin dan maju dalam hidup.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Psikologi di universiti yang sama. Seorang yang suka membaca pelbagai genre bahan bacaan terutama sejarah, sastera, motivasi dan psikologi.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami