Gaya Hidup

5 Penawar Berkesan Merawat Penyakit Hati

Oleh S. Atan  •  30 Jan 2015  •  4 min baca

Berbicara soal hati, tiada siapa dapat menafikan bahawa hati itulah punca segalanya. Hatilah penyebab seseorang itu bahagia. Hati jugalah penyebab jauhnya seseorang dengan pencipta-Nya. Jika baik dan terjaga hatinya, maka baik serta elok juga perilaku dan hidupnya. Begitulah juga sebaliknya. Hati anda bagaimana?

Syeikh Ibrahim al-Khawwas, seorang ulama ada menyebut:

“Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut.”

Penawar #1 – Membaca Al-Quran dan Memahami Maksudnya

 

yunus57

Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Surah Yunus: 57)

 

Ayat ini jelas menyatakan Al-Quran itulah penawar terbaik untuk penyakit hati yang ada dalam diri kita. Namun, sejauh mana kita pada hari ini membaca, memahami dan mengamalkan kalam Allah yang ada di dalamnya?

Basahkan lidah dan sirami hati kita dengan keindahan ayat al-Quran. Fahami setiap bait dan pengajaran yang ada di dalam al-Quran. Hati dan jiwa yang sentiasa dekat dengan al-Quran pasti akan lebih tenang dan tenteram.

Justeru, penyakit hati yang ada atau yang tersisa akan semakin menjauh.

Penawar #2 – Kosongkan Perut dari Terlalu Kenyang atau Berpuasa

Setiap orang yang hidup perlu makan. Tapi jangan sampai hidup kita semata-mata untuk makan sahaja. Banyak makan, nanti berat untuk beribadah. Apabila badan berat untuk beribadah, lama-lama hati akan keras. Nauzubillah.

Mungkin kita diberi kurnia dan rezeki yang melimpah. Ya, tidak salah untuk kita makan. Namun, berpada-padalah. Jangan sampai membazir dan membuatkan kita bermalas-malasan dalam beribadah kepada Allah.

fasting puasa tahan lapar

Badan yang sihat mengamalkan pemakanan yang terkawal. [Mike]

Cara terbaik untuk kita mengawal nafsu makan adalah dengan berpuasa. Bukan sahaja dapat mengawal nafsu makan, malah nafsu yang lain-lain juga. Malah dengan berpuasa, banyak ganjaran pahala yang bakal kita dapat.

Hati kita pun akan terjaga. Insya-Allah.

Penawar #3 – Bangun Beribadah Pada Waktu Malam

Tidak ramai, malah sukar untuk kita jumpa orang yang sentiasa melazimi ibadah malam.

Sedangkan pada waktu malam itulah waktu paling sesuai untuk meluahkan segalanya pada Yang Maha Esa, tatkala jiwa yang lain masih lena dibuai mimpi.

Dalam Surah Al-Muzzammil ayat 6 ada menyatakan bahawa:

 

almuzzammil6

Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. (Surah Al-Muzzammil: 6)

 

Cuba untuk mulakan dari sekarang. Sekali seminggu mungkin. Lama-kelamaan dengan izin Allah, kita dapat bangun setiap malam. Insya-Allah.

Dengan beristiqamah untuk bangun pada malam hari, hati dan jiwa akan lebih terisi. Kita juga akan sentiasa berasa betapa lemahnya kita di sisi Allah Yang Maha Besar lagi Maha Berkuasa.

Bangun dan beribadahlah.

Penawar #4 – Sentiasa Mendekatkan Diri Kepada Allah

Hati ini milik Allah. Maka Allah lah sebaik-baik penjaga.

Apabila kita kenal dan dekat dengan Allah, pasti kita akan berasa lebih bahagia. Jiwa kita akan lebih tenang dan yakin bahawa segala-galanya datang daripada Allah. Hati kita juga pasti akan terubat dan tidak berkarat.

night prayer tahajjud

Allah sentiasa mendengar rintihan hamba-hambaNya. [mcecblog]

Antara cara untuk mendekatkan diri kepada Allah adalah dengan memperbanyak amalan sunat seperti qiamullail, sedekah dan berzikir. Berkomunikasilah dengan Allah dan sentiasa berdoa agar dijauhi penyakit hati.

Mintalah dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

Penawar #5 – Membiasakan Diri ke Majlis Ilmu

Pernah tak kita kita terfikir, berapa banyakkah masa kita diisi dengan majlis-majlis ilmu terutamanya berkenaan ilmu agama?

Orang yang sudah berkarier sibuk dengan kerjanya. Yang masih belajar pula tekun bersedia untuk peperiksaannya. Hampir semuanya sibuk dengan hal-hal dunia sampaikan lupa untuk memberi masa untuk agama.

majlis ilmu ceramah

Pupuklah diri dengan majlis-majlis ilmu. [Kupih]

Apabila kita sentiasa berada dalam majlis ilmu yang dihadiri alim ulama, lambat laun, kita akan terikut-ikut dengan tingkah laku, perbuatan dan percakapan mereka yang sentiasa mengingati Allah.

Selain dapat menambahkan ilmu, kita juga dapat membentengkan diri daripada ancaman penyakit hati yang mudah untuk menyerang jiwa yang lalai dan leka.

“Tuntutlah ilmu dan belajarlah (untuk ilmu) ketenangan dan kehormatan diri, dan bersikaplah rendah hati kepada orang yang mengajarkan kamu.”
Riwayat Ath-Thabrani

Rumusan

Amatlah penting untuk kita tahu dan elakkan diri daripada penyakit hati ini meresap dalam jiwa.

Hati yang penuh dengan karat dan langsung tidak diisi dengan zikrullah pasti akan selamanya jauh daripada Allah dan sukar untuk mendapat hidayah. Nauzubillah.

Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa berada dalam keadaan hati yang bersih dari segala penyakit hati yang akan membuatkan kita lalai dan leka kepada Allah. Mudah-mudahan Insya-Allah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

S. Atan

S. Atan (bukan nama sebenar) merupakan seorang yang mendambakan kebahagiaan hakiki di syurga nanti. InsyaAllah.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami