Gaya Hidup

5 Cara Bersyukur Yang Mudah

Oleh Saodah Lasim  •  17 Oct 2019  •  4 min baca

Pastinya ayat Al-Quran yang menyatakan bahawa Allah SWT akan menambahkan lagi rezeki buat hambaNya yang bersyukur tidaklah asing lagi bagi kita. Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu…”  Surah Ibrahim : 7 

Begitu juga sebaliknya bagi orang yang dikurniakan kenikmatan tidak kira kecil atau besar, tapi tidak bersyukur, sesungguhnya dia berada dalam kerugian. Natijahnya, mereka mungkin akan mengambil keputusan yang membawa bencana kepada diri sendiri.

Sebagai contoh, ini adalah sebahagian nota yang telah ditinggalkan oleh George Henry Sanders, penerima anugerah Academy yang telah membunuh diri di sebuah hotel di Sepanyol.

“Dear world, I am leaving because I am bored. I feel I have lived long enough…” 

Sesungguhnya dunia ini tempat ujian dan kita dicipta untuk menyembah Allah. Usahlah kita alpa dan leka dengan ujian-ujian yang ditimpakan kepada kita.

“Apakah manusia itu menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman” sedangkan mereka tidak diuji lagi (dengan sesuatu cubaan)?”Surah Al-Ankabut: 2

Bersyukur dari segi bahasa bermaksud berterima kasih. Sesungguhnya bukanlah susah bagi seorang hamba untuk meluahkan rasa terima kasihnya kepada Tuhan-nya. Berikut disenaraikan beberapa cara bersyukur yang mudah untuk dilakukan oleh kita. 

#1- Sentiasa Mengingati Allah

Cara yang paling mudah dan ringan bagi seorang hamba untuk bersyukur adalah dengan berzikir. Zikir bermaksud ingat. Berzikir kepada Allah bermaksud mengingati Allah.

Mengingati sering dikaitkan dengan seseorang atau sesuatu yang dikasihi, seperti ingat ibu bapa, ingat suami isteri, ingat kekasih.

Dalam hal ini, ingatan yang paling tinggi adalah mengingati Allah. Justeru orang yang mengingati Allah akan menyebut tentang Allah, sama ada beristighfar, bertakbir, bertahmid. Membaca al-Quran juga dikategorikan dalam berzikir.

“… Ketahuilah dengan mengingati Allah (zikrullah) itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah Al-Radd: 28

#2- Mematuhi Perintah Allah Dan Menjauhi Larangan-Nya

Marilah kita kembali kepada perkara asas iaitu lihat semula kepada Rukun Islam dan Rukun Iman. Seterusnya, fahami sifat-sifat wajib dan mustahil pada Rasulullah SAW.

Apa yang dinyatakan dalam Rukun Islam itu, lakukanlah. Apa yang digariskan dalam Rukun Iman itu, hadamkanlah.

Apa ciri-ciri yang dinyatakan dalam sifat-sifat wajib dan mustahil pada Rasulullah SAW, contohilah.

#3- Buangkan Irihati Dalam Diri

Memang manusia tidak dijadikan dengan persamaan malah setiap orang ada ciri-ciri yang berbeza. Perbezaan itu membentuk perbezaan seperti kulit coklat, kulit cerah, kulit hitam.

Ada yang kaya, ada yang sangat kaya, ada yang miskin, ada yang sangat miskin. Ada genius, ada yang sukar memahami pelajaran. Ada yang rezekinya berlebih-lebihan dan melimpah ruah, ada yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Sebagai hamba Allah, fahamilah bahawa sekalian ciri-ciri luaran atau material itu tidak dipandang kecuali ketakwaan. Itulah yang Allah SWT pandang dan itulah kayu ukuran buat kita.

Dari itu, didiklah hati nan sekeping ini agar jangan selalu melihat ke atas, tapi tengoklah orang yang berada di bawah.

Semoga dengan itu, kita tidak risau dan ‘melatah’ jiwa melihat kelebihan yang ada pada orang lain, tetapi tetap tawaduk dan malu untuk berkeluh-kesah kerana Allah itu sebenarnya Maha Adil kepada sekalian makhluk-Nya.

#4- Maniskan Wajah

Tentu sudah biasa kita dengar komen-komen tentang wajah yang tersenyum manis dan wajah yang masam mencuka. Betapa senangnya orang ramai melihat senyuman yang terukir di wajah berbanding dengan wajah kelat tanpa senyuman.

Sesungguhnya senyuman itu mempunyai kuasa yang amat luar biasa apatah lagi jika senyum ketika sedih, senyum ketika diduga dengan ujian yang berat, senyum ketika marah. Sembunyikan yang negatif dan tonjolkan yang positif.

Dengan tersenyum, endorfin akan terhasil yang mana akan mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi dalam diri.  

#5- Berkongsi Ilmu

Pekerjaan sebagai guru memang pekerjaan yang mulia, mengajar anak-anak daripada tidak pandai membaca, tidak pandai mengeja, tidak pandai mengira kepada boleh membaca, mengeja dan mengira.

Begitupun, ada banyak lagi aktiviti mengajar atau berkongsi ilmu dapat dipraktikkan dalam pelbagai situasi. Contohnya, mengajar rakan sekerja dengan penggunaan komputer, mengajar dan membantu anak menyiapkan kerja sekolah dan mengajar anak kecil cara memakai seluar.

Setiap yang mengajarkan ilmu tidak kira kompleks atau mudah, adalah juga sikap berkongsi ilmu. 

Begitulah serba sedikit yang boleh kita usahakan bersama-sama, ke arah menjalani hidup yang lebih harmoni. Jom mulakan dengan Alhamdulillah.

Rujukan :
1. Akhlak Islam
2. Fakta Senyum
3. Bila Allah menduga kita. Penerbit: Mustread Sdn Bhd. Syed Alwi Al Attas


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saodah Lasim

Saodah Lasim

Bermula dengan menulis novel kanak-kanak dan novel bercorak thriller, kini Saodah adalah seorang editor bebas, penulis dan juga penulis upahan (ghostwriter). Telah mengedit buku-buku daripada pelbagai genre antaranya novel am, novel kanak-kanak, biografi, motivasi, panduan, sejarah, keagamaan dan kisah hidup. Juga merupakan seorang penyelaras penerbitan dan telah membantu menerbitkan beberapa buah buku untuk penulis swaterbit.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami