Gaya Hidup

4 Ciri Ilmu Yang Tidak Bermanfaat

Oleh Natirah Azira  •  29 Jun 2020  •  3 min baca

Ilmu diibaratkan sebagai harta seorang manusia. Jika dilihat daripada budaya kebiasaaan – semakin tinggi seseorang itu mendaki tangga pengajian ilmu di universiti, maka semakin kagum orang-orang di sekelilingnya kerana ia menggambarkan kesungguhan serta usahanya dalam mencari ilmu dan memahirkan diri dengan lebih mendalam dalam bidang yang diceburi.

Namun ilmu bukan hanya diukur berdasarkan tinggi rendah taraf seseorang dalam pengajian formal sahaja. Dalam Islam, ilmu dilihat secara lebih meluas bukan hanya bagi pencarian ilmu, malah termasuk sumber (daripada mana ilmu itu diambil) serta dalam hal mempraktikkannya.

Tidak semua ilmu bermanfaat, ada ilmu yang semakin membuat seseorang semakin lalai dan jauh daripada kebenaran. Ada juga ilmu yang semakin membuat kita sombong dan angkuh serta memandang rendah kepada orang lain.

Syeikh Abdurrahman bin Naasir al-Sa’di menjelaskan bahawa ada empat jenis ilmu yang tidak bermanfaat:

#1- Ilmu Yang Jelas Membawa Keburukan

Pertama, ia dikira sebagai ilmu yang berbahaya dan mendatangkan keburukan contohnya ilmu sihir yang jelas diharamkan dalam Islam. Contoh lain adalah seseorang yang membaca buku yang mengandungi kesesatan namun dia masih belum memiliki ilmu aqidah yang benar sebagai senjata untuk melindungi dirinya.

#2- Ilmu Duniawi Yang Melalaikan Daripada Tanggungjawab

Kedua adalah keadaan di mana seseorang sibuk mencari ilmu duniawi sehingga akhirnya kesibukan tersebut menjadikan dia lalai daripada hal-hal yang utama.

Contohnya, kesibukan dia dalam mencari ilmu dunia telah menjadikan dia lalai daripada mendirikan solat tanpa sebarang keuzuran, atau lalai untuk menjalankan tanggungjawab kepada ibu bapa atau ahli keluarga. Dalam situasi ini, ilmu yang diperoleh juga dikira tidak bermanfaat di sisi Islam.

#3- Ilmu Agama Yang Tidak Diamalkan

Seterusnya ilmu agama juga dikira tidak bermanfaat bagi seseorang jika dia tidak mengamalkannya. Dia tahu yang mana yang baik dan yang mana buruk, yang mana benar, yang mana salah namun menolak serta tidak mengamalkannya.

#4- Ilmu Yang Menyebabkan Tidak Mahu Ambil Tahu Tentang Ilmu Agama

Yang terakhir, pengajian ilmu moden seperti fizik, sosiologi, ekonomi, bahasa asing dan lain-lain juga dikira tidak bermanfaat jika ia menyebabkan seseorang itu tidak mengendah tentang ilmu agama atau terus berpaling daripada ilmu agama.

Seseorang yang terperangkap dalam perkara ini boleh menjadi keliru serta semakin menolak perkara-perkara daripada nas Al-Quran dan sunnah kerana dianggap ketinggalan zaman dan tidak tidak seiring dengan ilmu moden.

Kesimpulan

Menurut Syeikh Abdurrahman, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu agama Islam serta apa jua ilmu yang dapat membantu seseorang untuk lebih memahami agama Islam. Selain itu, ilmu yang boleh memperbaiki akhlak manusia, serta ilmu yang boleh memperbaiki dunia juga adalah dikira bermanfaat dengan syarat ilmu agama menjadi asas serta tunjang pegangan manakala ilmu-ilmu lain untuk menyokong.

Sebarang ilmu yang baik hukumnya harus dipelajari dalam Islam. Namun berhati-hatilah dalam menilai sumber sesuatu ilmu serta kemana ilmu tersebut membawa diri kita – adakah ke arah lebih baik atau semakin jauh daripada Allah SWT.

Rujukan:
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami