Inspirasi, Wanita

3 Saintis Wanita Mesir Terima Anugerah L’Oreal-Unesco

Oleh Natirah Azira  •  14 Feb 2019  •  2 min baca

Baru-baru ini tiga orang saintis wanita dari Mesir, Marwa Balaha, Nuha Mustafa dan Amira Al-Yathebi telah dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah L’Oreal-UNESCO Wanita Dalam Bidang Sains. Anugerah ini diwujudkan bagi menghargai sumbangan besar wanita dalam bidang sains yang semakin berkembang dari tahun ke tahun.

Balaha ialah seorang Ahli Farmasi dan juga Pakar Kimia yang sedang aktif mencipta sel kompaun yang baru untuk melawan sel-sel kanser yang berbahaya. Memetik kenyataan daripada womenofegyptmag.com, Balaha terinspirasi untuk menjadi seorang saintis yang boleh melawan kanser apabila ayahnya sendiri meninggal dunia kerana penyakit tersebut.

Setelah memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang Kimia Farmaseutikal, beliau menjawat jawatan sebagai pembantu profesor di Fakulti Farmasi, Universiti Kafr El Sheikh. Kini beliau sedang giat bekerjasama dengan Syarikat Farmaseutikal di Itali bagi mengusahakan projek penghasilan ubatan bagi melawan kanser.

Dr Nuha pula dilahirkan pada tahun 1988, di Tahta, Mesir dan pada tahun 2010. Beliau memperoleh ijazah dalam bidang Sains Farmaseutikal dari Universiti Assiut. Kemudian pada tahun 2015, beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam Kimia Analisis Farmaseutikal dan menjadi pembantu pensyarah. Beliau terus memanjat tangga dunia akademik apabila menyambung pelajaran di peringkat PhD dan mendapat biasiswa penuh dari Kerajaan Mesir pada tahun 2018.

Dalam kariernya, Dr Nuha mempunyai aspirasi untuk menghasilkan kaedah yang tepat dan murah untuk mengasingkan komponen bahan kimia dalam ubatan dan juga menguji reaksi ubat dalam proses pengoksidaan. Wanita kental ini juga merupakan seorang isteri dan ibu kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun.

Dr Amira Al-Yazbi juga merupakan seorang saintis dalam bidang Kimia Farmaseutikal Analisis, dan pembantu profesor di Institut Farmasi di Universiti Alexandria.

Kepakarannya adalah dalam kajian kerosakan DNA yang boleh menyebabkan kanser dan penyakit. Apa-apa kajian berkaitan DNA memang terkenal mahal dan sangat memakan masa. Beliau berusaha untuk mewujudkan satu kaedah yang lebih rendah bajet dalam mengesan kerosakan DNA hasil daripada penggunaan produk farmaseutikal, produk makanan yang mempunyai bahan berbahaya dan bahan tercemar yang wujud dalam alam sekitar.

Setiap tahun, program ini akan memilih tiga orang saintis wanita yang akan mewakili kegemilangan pencapaian wanita dalam bidang saintifik.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami