Inspirasi

3 Pintu Kebaikan Yang Perlu Dibuka

Oleh Natirah Azira  •  14 Apr 2020  •  3 min baca

Terlalu banyak kebaikan yang disediakan oleh Allah kepada umat manusia di atas muka bumi ini – sama ada kebaikan yang bersifat duniawi mahupun ukhrawi. Kebaikan duniawi boleh disebutkan seperti keselesaan tempat tinggal, kecukupan makanan dan pakaian, keluarga yang menyenangkan dan lain-lain.

Manakala kebaikan yang bersifat akhirat (ukhrawi) berupa perkara-perkara yang ganjarannya tidak dapat dilihat oleh mata kasar seperti pahala, keampunan oleh Allah, ketenangan jiwa serta hati yang khusyuk sentiasa mengingati Allah.

Kita hidup di dunia bukan semata-mata untuk mendapatkan kebaikan dunia sahaja, bahkan kita ingin meraih kebaikan akhirat yang dapat memudahkan kehidupan di akhirat pula.

Seperti sebuah hadis daripada Muaz bin Jabal, Rasulullah SAW menyebutkan bahawa ada tiga pintu kebaikan bagi seorang Muslim iaitu melalui puasa, sedekah dan juga bangun malam.

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; “Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad, no. 21628 – Status Isnad Hasan)

Pintu Pertama – Puasa

Puasa umpama benteng yang dapat menghalang seseorang daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah. Ini kerana seorang yang berpuasa mesti menahan bukan sahaja makan dan minum malah semua perkara yang dapat mencacatkan pahala puasa seperti mengumpat dan melihat hal-hal yang haram.

Daripada sudut lain pula, puasa adalah istimewa berbanding ibadah-ibadah yang lain kerana ibadah puasa adalah khusus milik Allah. Bermakna, Allah yang akan memberikan ganjaran sesuai dengan kualiti puasa yang dilakukan.

“…orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya…”

Pahala puasa adalah rahsia Allah dan Allah berhak memberikan pahala dan kebaikan tanpa batas sekalipun.

Pintu Kedua – Sedekah

Pintu kebaikan kedua ialah sedekah. Tidak terbayang betapa besar manfaat daripada sedekah yang diberikan. Ia pasti mendatangkan rasa bahagia dan gembira bagi orang yang menerima, sedangkan mereka yang memberi sedekah pula disediakan ganjaran dan kebaikan yang sangat besar oleh Allah.

Malah diceritakan bahawa jika ditanya kepada orang yang telah meninggal dunia sekalipun, mereka ingin kembali ke dunia kerana ingin bersedekah. Rasulullah SAW apabila masuk bulan Ramadan, baginda juga semakin memperbanyakkan sedekah.

Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

“Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji kurma” (Sahih Bukhari, no.5677 – Status Hadis Sahih)

Pintu Ketiga – Qiamullail

Pintu kebaikan yang ketiga ialah qiamullail atau bangun malam untuk melakukan ibadah kepada Allah seperti solat-solat sunat, membaca Al-Quran dan berzikir.

Amalan bangun malam untuk bermunajat kepada Allah mampu menghidupkan hati serta memberi kekuatan kepada rohani.

Demikianlah tiga pintu kebaikan yang diceritakan oleh Nabi SAW. Ambil lah peluang dengan keberkatan bulan Syaaban serta tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melaksanakan amalan bersedekah, berpuasa serta bangun solat malam. Ayuh raih kebaikan dunia dan akhirat yang tersedia di hadapan mata.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami