Ibadah

3 Jenis Mimpi Dalam Islam

Oleh Natirah Azira  •  4 Feb 2019  •  5 min baca

Kata orang mimpi adalah mainan tidur. Ada mimpi yang kita ingat setelah terbangun. Ada pula mimpi yang terasa samar-samar.

Kita tahu bahawa mimpi yang benar daripada Allah berlaku kepada Nabi, Rasul dan orang-orang soleh yang dipilih oleh Allah. Namun bolehkah mimpi seorang manusia biasa seperti kita dipercayai.

Menurut hadis riwayat Bukhari, mimpi boleh dibahagikan kepada tiga jenis.

الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ حَدِيثُ النَّفْسِ ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ

“Mimpi itu ada tiga macam: bisikan hati, ditakuti syaitan, dan khabar gembira dari Allah.” (HR. Bukhari – 7017)

Hadis dari Abu Said RA.anhu, Nabi SAW bersabda,

رُؤْيَا الرَّجُلِ الْمُسْلِمِ الصَّالِحِ جُزْءٌ مِنْ سَبْعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

“Mimpi seorang Muslim yang soleh adalah 1 dari 46 bahagian kenabian.” (HR. Ibnu Majah 3895 – Hadis Sahih)

Menurut Ibnu Atsir, hadis ini tidak bermakna bahawa kenabian itu boleh terbahagi. Tidak juga bererti bahawa orang yang mengalami mimpi semacam ini bererti memiliki satu bahagian kenabian. Kerana kenabian itu tidak boleh diikthiarkan. Dan tidak boleh dicari dengan melakukan berbagai sebab. Kenabian adalah anugerah dari Allah ta’ala. (an-Nihayah fi Gharib al-Atsar, 1/741).

Ibnu Battal pula berkata, mimpi ada dua jenis:

1. Mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil (keterangan dan pentafsiran)

2. Mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. (Rujuk Fath al-Bari, 19/451)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنْ مُبَشِّرَاتِ النُّبُوَّةِ إِلاَّ الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ يَرَاهَا الْمُسْلِمُ أَوْ تُرَى لَهُ

Maksudnya: “Tidak terdapat lagi berita-berita gembira tentang kenabian kecuali mimpi yang benar yang dialami oleh seorang muslim, atau diperlihatkan kepadanya (mimpi itu).” – Riwayat Muslim (1102)

Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (19/461) ketika mensyarahkan hadith ini menyertakan bersama sebuah hadis Abu Ya’la daripada Anas bin Malik RA:

إِنَّ الرِّسَالَة وَالنُّبُوَّة قَدْ اِنْقَطَعَتْ وَلَا نَبِيّ وَلَا رَسُول بَعْدِي وَلَكِنْ بَقِيَتْ الْمُبَشِّرَات قَالُوا : وَمَا الْمُبَشِّرَات؟ قَالَ : رُؤْيَا الْمُسْلِمِينَ جُزْء مِنْ أَجْزَاء النُّبُوَّة

Maksudnya: “Sesungguhnya risalah dan kenabian itu telah terhenti. Tidak ada nabi lagi dan tidak ada rasul lagi selepasku, akan tetapi akan kekal al-Mubassyiraat. Para sahabat bertanya: Apakah al-Mubassyiraat itu?” Jawab Baginda: Mimpi orang muslim satu bahagian daripada bahagian-bahagian kenabian.”

Ibn al-Tiin berkata: “Maksud hadis ini ialah bahawasanya wahyu akan terhenti dengan kematian-ku (Nabi SAW). Dan tidak akan kekal apa yang diketahui daripadanya akan apa yang akan berlaku melainkan mimpi.” (Rujuk Fath al-Bari, 19/461)

Maka, disimpulkan di sini bahawa mimpi mempunyai tiga jenis:

#1- Mimpi Kerana Imaginasi Sendiri (Hadis an-nafs)

Mimpi inilah yang dimaksudkan dengan bisikan hati seperti dalam hadis awal di atas. Ia berlaku kesan daripada apa yang difikirkan sehari-hari. Saintis yang mengkaji tentang mimpi berkata bahawa mimpi seperti ini berlaku setiap malam dalam fasa tidur yang dipanggil Rapid Eye Movement (REM)

Tandanya, apabila bangun daripada tidur, mimpi tersebut seakan-akan segar, namun tidak lama, mimpi itu kita lupakan. Mimpi dalam fasa ini juga boleh dipengaruhi oleh perkara di sekitar – bunyi, percikan air dan juga cahaya. Suara panggilan dari rakan contohnya sewaktu tidur boleh juga masuk ke dalam mimpi seakan-akan seperti ada yang memanggil.

#2- Mimpi Kerana Syaitan

Mimpi kerana pengaruh syaitan dipanggil sebagai ‘hulm’. Antara tanda-tandanya ialah mimpi yang menakutkan dan mengerikan seperti dikejar. dibunuh dan sebagainya. Mimpi-mimpi sebegini adalah permainan syaitan yang tidak benar dan sebaiknya tidak diceritakan kepada orang lain .

Pernah seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dan memberitahu bahawa dia bermimpi kepalanya terputus dan dia berlari mengejar kepalanya. Rasulullah SAW memberitahu bahawa mimpi sebegitu tidak perlu diceritakan kepada sesiapa.

Apa yang perlu dilakukan apabila bermimpi buruk?

Bacalah ta’awudz (A’udzu billahi mina syaitoni rajim) serta ludahlah ke sebelah kiri (meludah secara isyarat sahaja). Jika mimpi tersebut terlalu teruk, maka dirikanlah solat sunat dua rakaat bagi meminta pertolongan dan ketenteraman daripada Allah.

Satu lagi jenis mimpi yang dikategorikan di bawah mimpi hasil pengaruh syaitan ialah mimpi basah. Ia boleh jadi berlaku tanpa apa-apa sebab dan alasan. Dalam hal ini, tidak perlu menyalahkan diri apabila hal ini terjadi. Bangun sahaja daripada tidur lalu sucikanlah diri.

#3- Mimpi Daripada Allah (Mubassyirat atau ru’ya as solehah)

Mimpi jenis ini ialah mimpi yang baik daripada Allah. Ianya berlaku kepada para Nabi dan Rasul. Allah telah melindungi mimpi ini daripada syaitan dan imaginasi mereka yang bermimpi. Contohnya mimpi Nabi Ibrahim tentang baginda menyembelih anaknya. Juga Nabi Yusuf yang bermimpi tentang bintang yang bersujud padanya. Mimpi-mimpi tersebut memberi tanda kepada perkara yang akan berlaku kelak.

Mubasshirat atau mimpi yang menggembirakan hati ini boleh juga berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia suatu mimpi yang menyenangkan, positif dan juga jelas dan mampu diingati.

Ustaz Khalid Basalamah pernah bercerita tentang seorang anak muda dari Yaman. Beliau seorang yang buta matanya namun menghafal Quran. Sampai suatu ketika, hadir fitrah di hatinya rasa ingin berkahwin. Beliau berdoa selama satu bulan penuh supaya Allah mengurniakannya wanita paling cantik di Yaman, paling pintar dan paling kaya.

Tidak lama, beliau bermimpi tentang seorang wanita dari daerah tidak jauh dari tempat dia tinggal. Dan wanita tersebut merupakan anak seorang yang disegani.

Terbangun daripada mimpinya, beliau menceritakan tentang hal tersebut kepada ayahnya dan menyuruh ayahnya meminang gadis tersebut seperti dari alamat mimpinya. Akhirnya dengan kuasa Allah, pinangannya diterima dan beliau benar-benar berkahwin dengan wanita tersebut.

Mimpi yang dialami perlu bijak ditafsir. Kadang-kadang ia hanya mainan tidur, dan ada kala ia memang benar-benar tanda kebaikan yang Allah ingin berikan kepada hamba-hambaNya yang terpilih. Wallahua’lam.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami