Oleh Natirah Azira • 11 May 2023 • 3 min baca
Orang yang pernah patah hati dan terluka sahaja tahu bagaimana perasaan yang cedera walau lukanya tak nampak dek mata kasar, baik ia kerana kehilangan, perpisahan atau boleh jadi juga pengkhianatan. Badan terasa berat, fikiran jadi bercelaru dan diri seakan-akan tidak tahu lagi bagaimana cara untuk tersenyum. Anda sebenarnya sedang melalui fasa grief atau hiba. Buat anda yang sedang patah hati, enam perkara di bawah harus dititikberatkan untuk sembuh semula.
Dalam keadaan hati sedang sakit dan terluka, cukup mudah untuk ia mempengaruhi apa yang kita fikirkan. Mungkin ada suara-suara dalam minda anda menyalahkan diri dan berkata yang buruk-buruk tentang diri sendiri.
Setiap kali hati dan fikiran mula berfikir ke arah yang negatif, ingat semula bahawa menyalahkan diri pada masa sekarang tidak akan mengubah apa-apa bahkan akan menambah lagi luka. Banyakkan ingatan kepada Allah. Latih ia berkali-kali sehingga menjadi tabiat.
Selain itu, elak daripada bertanya soalan, “Mengapa hal ini terjadi kepada aku?”, tetapi tanya soalan, “Apa yang dapat aku pelajari daripada perkara ini?”.
Dalam fasa-fasa hiba, akan ada masanya emosi jadi terlalu besar. Anda rasa ingin menjerit dan menangis sepuas-puasnya. Tidak salah untuk melepaskan emosi tersebut. Tapi, carilah tempat yang mendamaikan yang boleh membantu emosi anda untuk reda semula.
Anda juga boleh menulis isi hati yang mungkin tak sempat diluahkan kepada seseorang. Kemudian, anda boleh mengoyak dan membuangnya. Walaupun ia tidak sampai kepada orang tersebut, dan tidak mengubah keadaan secara drastik, daripada sudut psikologi, ia boleh menjadi simbolik anda ingin melepaskan hal yang membelenggu minda.
Apabila berada dalam keadaan sedih, badan kita selalunya dalam keadaan yang lemah. Hilang selera makan, tidak mahu bangun dari katil dan tidak mahu melakukan aktiviti apa-apa.
Tetapi, setidak-tidaknya, carilah cahaya matahari di luar rumah. Peruntukkan 20 hingga 30 minit setiap hari berjemur dan mendapatkan cahaya matahari ketika naik dan ketika tenggelam. Percayalah, anda akan dapat rasai kelainannya. Badan akan lebih segar, dan tidur pada waktu malam juga akan lebih mudah.
Rutin yang berbeza boleh mendatangkan perasaan yang baru. Dalam keadaan hati sedang patah, anda akan kerap teringat dengan rutin sama yang pernah dilakukan dahulu.
Apa kata cuba perkara baru yang anda pernah ingin buat tapi tak pernah ada masa. Memang, keseronokan tidak akan datang sekelip mata, tetapi sekurang-kurangnya anda dapat memecah rutin dan kebuntuan. Apabila masa berlalu, anda akan jadi lebih selesa dengan aktiviti baru ini.
Akhirnya, beri masa pada diri sendiri dalam menjalani proses penyembuhan hati. Anda tidak perlu bersaing dengan sesiapa. Dan fasa hiba juga memang ada naik turunnya. Ada hari anda rasa semakin pulih, ada hari anda seperti kembali ke garis mula. Ia menyakitkan, tetapi percayalah akan tiba masa hati anda akan jadi lebih ringan.
Jika anda yang membaca adalah seorang muslim, anda harus percaya bahawa tidak ada yang mustahil dalam kuasa Allah. Percayalah Dia akan memberikan jalan keluar daripada setiap kesulitan jika anda terus bersabar. Allah tahu anda mempunyai hati yang baik, maka pasti akan dibalas juga dengan hal-hal yang baik.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.