Ibadah

Doa Supaya Fikiran Tak Hanya Dipenuhi Hal-hal Yang Menggelisahkan

Oleh Natirah Azira  •  5 May 2023  •  2 min baca

Hidup adalah perjalanan yang penuh dengan giliran suka, duka, pahit dan manisnya. Ada kala ia dipenuhi ketenangan dan kegembiraan. Ada kala kita diuji dengan kesusahan dan cabaran. Hati dan fikiran sentiasa bergelut dengan banyak perkara. Jika direnung lebih mendalam, ia adalah cubaan sebenarnya buat kita, untuk mengemudi hati dan fikiran agar sentiasa selari dengan apa yang Allah mahukan.

Hati yang gelisah adalah hati yang tidak tenang. Akal berfikir, sama ada tentang perkara yang sudah lalu atau yang belum terjadi, sama ada masalah, dilema atau hal yang bukan pun masalah tetapi masih merunsingkan. Ia tidak akan pernah habis.

Dan barangkali, kerana Allah tahu bahawa hati manusia ini selalu berada dalam keadaan gelisah apabila ujian dan cabaran menjengah, maka kerana itu Allah mengingatkan bahawa dengan mengingatiNya jua hati akan menjadi tenang dan lapang.

Terdapat satu doa menarik yang pihak Tzkrh temui dari perkongsian di media sosial yang wajar dikongsikan dengan pembaca semua. Setelah disemak, doa ini bukanlah ayat Al-Quran atau berasal daripada mana-mana hadis, namun makna yang terkandung di dalamnya sangat indah dan boleh dijadikan sebagai doa-doa tambahan.

اللهم لا تشغل عقلي بما يقلقه

(Allahumma la tushghil ‘aqli bima yuqliqoh)

Ya Allah, jangan biarkan fikiranku dipenuhi dengan hal-hal yang membuatku gelisah.

ولا قلبي بمن لا يرحمه

(Wa la qolbi biman la yarhamuh)

Jangan biarkan hatiku terikat kepada orang yang tidak berasa belas kasihan (peduli) terhadapku.

ولا وقت بمن لا ينفعه

(Wala waqti biman la yanfa’uh)

Dan tidak perlu menghabiskan waktu untuk seseorang yang tidak memberikan manfaat atau kebaikan apapun.

اللهم لا تحرمني خيرك بقلة شكري

(Allahuma la tahrimni khairoka biqillati syukri)

Ya Allah, janganlah Engkau menahan kurnia dariku kerana kurangnya rasa syukurku.

ولا تتركني بقلة صبري

(Wa la tatrukni biqillati sobri)

Jangan biarkan aku hilang kesabaran kerana kesulitan (ujian) yang terus -menerus.

ولا تحاسبني بقلة استغفاري

(Wa la tuhaasibni biqillati istighfaari)

Jangan lah Engkau menghukumku kerana kekurangan dalam memohon keampunan bagiku.

Hidup ini bukan hanya tentang menyelesaikan dilema dan masalah sahaja. Dalam usaha menyelesaikan masalah sekalipun, sewajarnya kita tidak boleh membiarkan hati terus-terusan berasa gelisah dan terkesan dengan masalah tersebut.

Kita tidak mahu hati dan fikiran kita disibukkan dengan menyelesaikan masalah sehingga tidak ada masa untuk memberi fokus kepada apa yang Allah sebenarnya inginkan. Kita tidak mahu menjadi hamba kepada masalah-masalah hidup yang memang tidak akan ada habisnya.

Semoga dengan membaca doa ini, kita kembali sedar tentang bagaimana untuk mengendalikan hati dan fikiran ke arah yang lebih baik, mensyukuri hal-hal yang kecil serta bersabar dengan setiap apa yang Allah berikan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami