Barang-barang yang unik, estetik, atau lama memang ada peminatnya. Wang yang banyak sanggup dihabiskan untuk membeli barang tersebut semata-mata untuk dijadikan koleksi. Salah satunya seperti mengumpul koleksi duit, sama ada duit lama atau duit dengan nombor siri unik yang kadang-kala akan dikeluarkan oleh pihak bank.
Namun, bagaimana pula Islam melihat hal ini? Adakah ia sebenarnya dibenarkan memandangkan hukum menukar wang dari jenis yang sama dengan nilai berbeza adalah haram, contohnya wang RM1 ditukar dengan wang RM10. Dalam hal membeli atau menukar duit untuk tujuan koleksi pula bagaimana?
Menurut Dr Zaharuddin Abd Rahman, hukum asal penukarannya adalah haram, tetapi dalam kes seperti membeli wang yang mempunyai nombor siri istimewa atau membeli wang lama yang tak lagi digunakan, ada beberapa sebab yang membolehkannya.
Perkara yang perlu diperjelaskan di sini adalah pembeli membeli duit itu kerana keunikannya dan bukan sekadar menukar duit. Para fuqaha menyebutkan:
Ertinya : Sesungguhnya maksud utama darinya adalah zat item itu dan bukan pada aspek matawangnya, justeru aspek matawang itu telah menjadi hal yang mengikut (tabi’) atau ‘secondary’. (Rujuk al-Qabas Syarh al-Muwatta’, 2/805)
Justeru, perbuatan membeli duit dengan ciri yang unik tadi dibolehkan kerana keunikannya dan bukan sifatnya, dan ia tidak dianggap riba kerana pertukarannya adalah antara duit RM dan komoditi (duit dengan ciri unik).
Dalam hal ini juga terdapat anggapan yang besar bahawa pembeli akan menjadikan duit yang dibeli itu sekadar collectible items atau barang antik sahaja dan bukan mata wang biasa lagi.
Terdapat kes yang sama pernah disebutkan dalam fiqh Mazhab Maliki yang mana pertukaran emas dengan emas dilakukan bukan berdasarkan berat yang sama tetapi menggunakan konsep ‘al-rifq dan makruf (atas dasar belas ihsan dan toleransi).
Ertinya : Atas dasar belas ihsan dan toleransi dan bukan atas dasar timbangan. (Manh al-Jalil, 2/528 )
Jadi, membeli koleksi duit ini walau dengan harga yang jauh lebih mahal, ia tidak dianggap riba.
Selain itu, ia juga lebih baik dijual menggunakan mata wang asing kerana penukaran dua mata wang berbeza negara adalah harus walaupun berbeza nilainya.
Namun, jika kelak pembeli ingin menggunakan komoditi ini (wang dengan ciri unik) semula atas sebab-sebab seperti perlu memakai duit, pemilik mesti menjualnya sebagai komoditi semula dan tidak menggunakannya sebagai mata wang bagi mengelakkan syubhah atau hal-hal yang merugikan. Hal ini kerana pada asalnya, ia telah dianggap komoditi dan bukan lagi mata wang.
Sama juga kaedahnya untuk jualan mata wang lama yang dianggap unik dan tidak lagi ada dalam circulation jual beli. Ia boleh dijual dengan apa-apa nilai kerana ia telah dianggap komoditi.
Wallahua’lam.
Sumber:
Zaharuddin Abd Rahman. (2015). Tukar duit istimewa dengan nilai beza.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.