Hukum

Bantal Alas, Minyak Wangi & Susu – 3 Pemberian Yang Tidak Elok Ditolak

Oleh Natirah Azira  •  28 Mar 2023  •  3 min baca

Ada satu hari, tangan saya ditarik oleh seorang mak cik sewaktu saya melewati reruai minyak wanginya. Dia ingin mencalit minyak wangi pada tangan saya memandangkan hari itu hari Jumaat.

Berkali-kali saya menolak, kerana saya memang jarang pakai minyak wangi. Minyak wangi biasanya akan buat kepala saya pening. Tapi katanya, tidak baik menolak pemberian minyak wangi, lalu terus mencalitnya ke tangan saya. Dalam rasa sebal, saya menggumam dalam hati; benarkah apa yang dikatakan? (Dan selepas itu, memang kepala saya jadi pening dek bau minyak wangi yang kuat).


ثَلاَثٌ لاَ تُرَدُّ : الوَسَائِدُ ، وَالدُّهْنُ ، وَاللَّبَنُ

Maksudnya : “ Tiga perkara yang tidak boleh ditolak. Bantal alas, minyak dan juga susu.”

Setelah disemak, kefahaman ini ada asasnya. Dalam Kitab Jami’ Al-Tirmizi, Imam Al-Tirmizi berkata :

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ ، قَالَ : حَدَّثَنَا ابْنُ أَبِي فُدَيْكٍ ، عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مُسْلِمٍ ، عَنْ أَبِيهِ ، عَنِ ابْنِ عُمَرَ ، قَالَ  قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثَلاَثٌ لاَ تُرَدُّ : الوَسَائِدُ ، وَالدُّهْنُ ، وَاللَّبَنُ الدُّهْنُ : يَعْنِي بِهِ الطِّيبَ

Maksudnya : “ Qutaibah menceritakan kepada kami. Dia berkata : Ibnu Abi Fudaik menceritakan kepada kami daripada Abdullah Bin Muslim daripada ayahnya daripada Ibnu Umar.  Beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda : Tiga perkara yang tidak boleh ditolak.Bantal alas, minyak dan susu. (Riwayat Al-Tirmizi – 2790 – Imam Al-Tirmizi menghukumkan hadis ini sebagai hadis gharib)

Ibnu Hajar Al-Asqalani pula menyatakan sanad hadis ini adalah sanad yang hasan tetapi tidak sampai menepati syarat yang telah diletakkan oleh Imam Bukhari. Pihak Mufti Wilayah Persekutuan pula berpendapat hadis di atas adalah hadis hasan.

Hadis di atas sebenarnya membawa mesej bahawa pemberian seperti bantal alas, minyak dan susu tidak seharusnya ditolak khususnya apabila berkunjung dan berziarah ke rumah saudara mara atau sahabat handai. Pemberian ini menjadi budaya pada waktu tersebut jika ada tetamu yang datang ke rumah.

Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri menyebut pandangan Al-Tibi, bahawa pemberian tersebut daripada tuan rumah dengan tujuan memuliakan tetamu. Menerimanya pula adalah penghargaan untuk tuan rumah dan bertujuan tidak menyakiti hatinya, memandangkan pada waktu itu nilai pemberian ini ringan dan murah.

Ia juga menjadi kebiasaan baginda Rasulullah SAW, apabila diberikan minyak wangi, maka baginda tidak pernah menolak. Amalan ini menjadi kebiasaan juga Anas bin Malik.

Pakai Minyak Wangi Bagi Wanita

Hukum wanita memakai wangi-wangian yang kuat apabila keluar rumah pula adalah haram. Namun, jika baunya tidak jelas dan kuat, dan hanya untuk keselesaan diri daripada bau badan, maka ia dibolehkan. Justeru jika diberikan minyak wangi, anda boleh menggunakannya dengan kadar yang dibenarkan.

Minyak Wangi Memeningkan Kepala

Ada juga orang yang memang tidak boleh menghidu minyak wangi kerana akan mendatangkan mudarat dan kesulitan pada dirinya seperti pening kepala dan mual. Dalam hal ini, sebenarnya dia boleh menolak. Larangan menolak pemberian di atas pula bukanlah larangan yang haram, tetapi makruh sahaja.

Kesimpulannya, jika dilihat secara umum, apa jua jenis pemberian yang baik daripada seseorang seharusnya tidak ditolak, lebih-lebih lagi pemberian seperti minyak wangi, bantal alas dan susu yang diberikan oleh tuan rumah ketika anda berkunjung ke rumahnya. Namun, jika ada kesulitan yang menghalang anda daripada menerimanya, beritahulah secara baik agar tidak mengecilkan hati orang yang memberi. Wallahu’alam.

Rujukan:

Muhammad Shahrulnizam Muhadi. (2020). Irsyad Al-Hadith Siri Ke 481: Tiga Pemberian Yang Tidak Boleh Ditolak. Mufti Wilayah Persekutuan. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/4276-irsyad-al-hadith-siri-ke-481-tiga-pemberian-yang-tidak-boleh-ditolak

Mufti Wilayah Persekutuan. Irsyad Al-Fatwa Ke-199: Hukum Wanita Memakai Wangi-wangian (Perfume). https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/4276-irsyad-al-hadith-siri-ke-481-tiga-pemberian-yang-tidak-boleh-ditolak


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami