Gaya Hidup

5 Cara Melemahkan Pengaruh Syaitan Dalam Diri

Oleh Natirah Azira  •  21 Mar 2023  •  3 min baca

Sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai perkara-perkara ghaib yang dikhabarkan oleh Allah SWT melalui kalamnya mahupun melalui hadis Rasulullah SAW. Salah satunya adalah kewujudan syaitan yang bertujuan menghasut manusia ke arah kesesatan.

Dalam Surah An Nas, Allah menyebutkan tentang ‘Al-Khannas’, iaitu syaitan yang benar-benar bersembunyi, yang kadang-kadang datang mengganggu dan kadang-kadang pergi.

Diterangkan lagi oleh Ibnu Abbas bahawa firman Allah yang bermaksud ‘bisikan syaitan yang bersembunyi’ ini merujuk kepada keberadaan syaitan yang selalunya berada dekat dengan hati manusia.

Jadi, memang benar bahawa syaitan itu sentiasa membisikkan dan memandu hati manusia ke arah kesesatan. Bagaimana untuk menguatkan diri dari pengaruh syaitan? Berikut amalan yang boleh dilakukan.

#1- Terus Mempraktikkan Ajaran Al-Quran

“Dan sesiapa yang berpaling dari pengajaran Tuhan Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Surah Az- Zukhruf, 43:36)

Allah berkata, bahawa orang yang meninggalkan ajaran Al-Quran, yakni tidak mengikuti pesanan yang telah Allah berikan, kesannya syaitanlah yang akan menjadi pendamping dan teman.

Maka, kesan sebaliknya pasti dapat dicapai apabila mengikut ajaran Al-Quran. Pengaruh syaitan dalam diri akan semakin lemah.

#2- Mengingati Allah

“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar)” (Surah Al-‘Araf 7:201)

Orang yang bertakwa juga tidak terkecuali daripada diganggu. Cuma sikap orang yang bertakwa, apabila dihinggapi imbasan dan hasutan syaitan akan cepat-cepat ingat kepada ajaran Allah SWT. Untuk ingat kepada ajaran Allah, terlebih dahulu kita perlu belajar dan menambah ilmu. Jadi, tambahlah ilmu tentang sifat-sifat syaitan, kisah pengajaran oleh para nabi dan rasul serta doa-doa perlindungan daripada pengaruh syaitan.

#3- Meminta Perlindungan Daripada Allah Setiap Masa

“Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al’A’raf, 7:200).

Mintalah perlindungan kepada hanya satu-satunya yang dapat memberikan perlindungan iaitu Allah SWT. Jika anda menghadapi gangguan yang tidak dapat dilihat seperti jin atau seumpamanya, jauhkan diri daripada perkara khurafat seperti bomoh atau tangkal. Kesemua jin dan manusia adalah makhluk yang Allah ciptakan maka sudah pasti dalam kekuasaannya.

Amalkan juga doa-doa yang sahih untuk mengelakkan diri daripada pengaruh syaitan seperti doa masuk ke tandas, doa tidur dan doa ketika makan.

#4- Jangan Terpedaya Dengan Rasa Rendah Diri

Sebagai manusia, memang kita banyak kelemahan lebih-lebih jika kita kerap kembali kepada kesilapan yang berulang. Pada saat ini, hati mungkin berbelah bahagi untuk memilih kekal bertaubat atau hanya membiarkan sahaja diri mengikut jalan yang salah kerana rasa ‘teruk dengan diri sendiri’ yang semakin menebal.

Awas, jangan terpedaya dengan perasaan-perasaan begini. Syaitan inginkan kita berputus asa daripada rahmat Allah, menyalahkan diri dan tidak mengulang-ulang taubat. Sedangkan, yang disarankan adalah tetap terus bertaubat apabila menyedari kesalahan yang dilakukan.

#5- Kawal Penggunaan Media Sosial Supaya Tidak Hilang Fokus

Salah satu perangkap syaitan juga yang mungkin kita tidak sedar adalah melarikan fokus kita kepada banyak perkara. Ditambah dengan pergerakan info di media sosial yang semakin laju, minda kita juga sukar untuk duduk diam dan bertenang. Ada sahaja perkara yang mencuri perhatian walaupun tidak penting.

Justeru, kawal penggunaan media sosial supaya pengaruh-pengaruh syaitan dan bisikan-bisikan yang halus tidak menular masuk ke dalam hati, tidak membibitkan rasa tidak puas hati, kurang syukur dan marah.

Kesimpulannya, setiap sudut kehidupan kita perlu diperhalusi, ruang kelemahan mana yang akan membuatkan syaitan mudah memberikan pengaruh pada diri. Ruang ini mungkin berbeza bagi setiap orang, justeru kenal kekuatan dan kelemahan diri dan terus berjaga-jaga setiap masa.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami