Keluarga

Usahakan Sakinah Dalam Rumah Tangga

Oleh Natirah Azira  •  3 Feb 2023  •  3 min baca

Antara matlamat utama perkahwinan adalah mencapai sakinah dan mawaddah iaitu, ketenangan dan kasih sayang. Namun, sakinah tidak menanti kita apabila melangkah ke dalam gerbang perkahwinan, tetapi ketenangan perlu diusahakan oleh pasangan dan ahli keluarga yang berada di dalamnya. Berikut lima perkara yang dapat mendatangkan sakinah dalam rumah tangga:

#1- Kebersihan Dan Kekemasan Tempat Tinggal

Suasana sekeliling yang kemas dan bersih boleh mendatangkan ketenangan dalam kehidupan rumah tangga. Sebaliknya, bayangkan bilik yang penuh baju yang berlonggok dan kotor, dapur berminyak tidak dibersihkan dan sampah yang berbau tidak dibuang. Pasti keadaan ini mengundang rasa tidak nyaman dan rasa sesak di dada. Sakinah tidak tiba, bahkan makin menghilang.

#2- Peranan Yang Seimbang

Ketenangan juga boleh datang apabila peranan antara suami dan isteri seimbang bermaksud peranan kedua-duanya saling melengkapkan, seiring dan sejalan. Masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan untuk memastikan urusan rumah tangga berjalan dengan baik. Contohnya jika isteri sudah membasuh baju, suami boleh menjemur. Apabila isteri sudah memasak, suami boleh membasuh dan mengemas dapur.

Apa pun, keseimbangan peranan ini datang dengan komunikasi yang sihat dan jelas.

#3- Komunikasi Yang Menekankan Penghormatan

Cara komunikasi yang menekankan penghormatan akan dapat menimbulkan rasa kasih dan sayang. Bercakap dengan pasangan tidak sama dengan cara bercakap dengan adik-beradik atau rakan-rakan.

Gunakanlah perkataan yang baik dan intonasi suara yang sesuai ketika bercakap. Ambil lah pendekatan yang bijak apabila sedang marah atau beremosi.

#4- Nafkah Dan Rezeki

Ketenangan dalam rumah tangga juga berkait rapat dengan kewajipan dan tanggungjawab. Salah satunya tanggungjawab nafkah seorang suami kepada isterinya. Berapa banyak cerita-cerita kezaliman rumah tangga yang kita dengari apabila isteri tidak diberikan nafkah bertahun lamanya. Perbelanjaan rumah ditanggung sendiri bahkan lebih teruk lagi didera secara fizikal.

Isteri yang diberikan hak nafkah seperti tempat tinggal yang baik, pakaian yang elok dan makan minum yang halal akan lebih tenang menjalani hidupnya bersama-sama suami.

#5- Gaya Kehidupan Yang Realistik

Gaya kehidupan yang realistik juga menjadi satu faktor ketenangan dalam rumah tangga. Jika seseorang hanya ingin mengikut ‘trend’ dan gaya hidup orang lain yang dipaparkan di media sosial – berbelanja secara mewah, kerap makan di luar dan bercuti setiap bulan maka sudah tentu akan selalu rasa tidak puas dengan apa yang sudah diberikan suami walaupun sudah mencukupi.

Justeru, penting untuk ‘ukur baju di badan sendiri’. Jika masih belum mampu bersabarlah dan rancanglah kewangan dengan lebih bijak, atau boleh juga usahakan sumber pendapatan tambahan.

Kesimpulannya, banyak perkara kecil dalam perkahwinan yang dapat mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan. Lima perkara di atas hanya sebahagian daripadanya. Anda boleh meneliti semula perjalanan rumah tangga dan bertanya kepada diri apakah yang dapat mendatangkan ketenangan dan kebahagiaan buat anda dan pasangan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami