Ibadah

Doa Agar Dijauhkan Dari Rasa Malas Berusaha

Oleh Natirah Azira  •  30 Jan 2023  •  2 min baca

Manusia memang tidak akan sunyi daripada sifat kelemahan antaranya rasa malas. Sehingga, ada yang menamakan hari hujung minggunya hari untuk bermalas-malasan (atau sebenarnya hari untuk berehat dari kesibukan), iaitu duduk di rumah tanpa melakukan aktiviti yang dilakukan di hari bekerja yang lain. Malas begini biasa, kerana badan juga perlukan rehat.

Namun, ada malas yang lebih membimbangkan iaitu malas untuk berusaha apa pun dalam hidup. Malas untuk belajar, malas untuk berusaha melakukan ibadah, dan malas juga untuk berusaha mencari rezeki. Setiap hari adalah hari untuk bersenang-lenang di rumah, tidak mahu bekerja, tidak mahu juga mengurus rumah lebih baik dan hanya ingin menghabiskan masa dengan televisyen atau telefon.

Segala yang memerlukan usaha, kerja keras dan kepenatan dirasakan membebankan. Sifat inilah yang boleh dikira seperti sifat ‘Al-Kasal’ (الكَسَلِ) yang disebutkan dalam satu hadis. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, ia membawa maksud malas. Tetapi sebenarnya intipati maknanya lebih mendalam, iaitu orang yang memiliki kemampuan untuk melakukan sesuatu, tetapi tidak ada dorongan motivasi untuk melakukan kebaikan.

Lalu Rasulullah SAW menyuruh kita berdoa agar dijauhkan daripada sifat ini, yang jelas akan memakan diri sendiri.

اللَّهُمَّ إنِّي أعُوذُ بكَ مِنَ الهَمِّ والحَزَنِ، والعَجْزِ والكَسَلِ، والجُبْنِ والبُخْلِ، وضَلَعِ الدَّيْنِ، وغَلَبَةِ الرِّجالِ.

Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan, dari sifat lemah dan malas, dari sifat pengecut dan bakhil, dari bebanan hutang dan penindasan manusia.” (HR Bukhari, 6369)

Siapa yang akan menanggung diri kelak jika kita malas berusaha. Jika kita kerap melakukan usaha sekerat jalan, kerap hilang semangat dan kerap juga melompat dari satu kerja ke kerja yang lain, maka mungkin ini masanya untuk mula menyemak diri sendiri, apa sebenarnya yang kita cari? Mengapa kerap hilang semangat dan tidak dapat menghabiskan kerja sehingga ke penghujungnya?

Adakah kerana sejak awal, perancangan rapi tidak dibuat? Adakah kerana kita tidak mengagak dengan realistik dengan halangan atau cabaran yang mungkin akan menimpa? Kadang-kadang, mungkin kita juga tersilap menilai kemampuan diri. Untuk lebih bersemangat melakukan usaha, diri mesti dilengkapkan dengan kemahiran yang diperlukan dan cara fikir yang betul.

Rezeki tidak akan datang sendiri, sunnahnya ia memerlukan usaha barulah rezeki akan sampai. Dan usaha juga adalah proses yang panjang sebelum membuahkan hasil yang diinginkan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami