Hukum

Bolehkah Kanak-kanak Melakukan Jual Beli Barang?

Oleh Natirah Azira  •  16 Jan 2023  •  3 min baca

Pemandangan kanak-kanak melakukan jual beli barang adalah hal yang biasa kita lihat di negara ini. Ada yang membantu ibu ayah menjaga kedai runcit, berjualan di pasar malam atau di gerai-gerai tepi jalan. Malah, mungkin kita sendiri pernah mengirim pesan kepada adik atau anak buah untuk membelikan sesuatu di kedai runcit.

Soalnya, adakah hal ini dibolehkan dalam Islam, memandangkan anak-anak ini belum lagi mencapai tahap baligh?

Bagi memahami hal ini, pendapat yang telah dikeluarkan oleh pihak Mufti Wilayah Persekutuan dirujuk dan diringkaskan.

Perkara pertama yang perlu diketahui tentang jual beli ialah rukunnya. Terdapat tiga rukun utama iaitu:

1. Orang yang berakad (penjual dan pembeli)

2. Lafaz akad (Ijab dan kabul)

3. Apa yang diakadkan (barangan dan harga)

Bagi ketiga-tiga rukun ini pula, ada syarat-syarat lain yang memberikan kesan terhadap kesahihan akad dan juga hukum.

Contohnya bagi rukun pertama, orang yang menjual dan membeli mestilah memiliki kewarasan (Al-Rusyd). Bererti mereka mestilah orang yang baligh, berakal dan mampu mentadbir agama dan hartanya dengan baik.

Untuk transaksi jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak, perlu dilihat kepada kelayakan mereka melaksanakan tugas (ahliyyah al’ada’). Syaratnya ialah adanya akal, memiliki kebolehan berfikir dan kebolehan membuat perbezaan (tamyiz).

Menurut Syeikh Wahbah Az-Zuhaili untuk tindakan jual beli, sewa-menyewa dan apa sahaja transaksi yang ada dalamnya konsep untung rugi adalah sah dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz tetapi bergantung ke atas keizinan atau kebenaran wali.

Dalam Islam, seseorang masih dikira kanak-kanak bermula dia lahir sehingga sebelum mencapai umur mumaiyzi. Manakala peringkat mumaiyiz adalah apabila mereka telah mencapai umur 7 tahun.

Namun, pandangan Syeikh Wahbah ini berbeza dengan pandangan Mazhab Syafie dan Hanbali.

Mazhab Syafie

Pendapat muktamad dalam mazhab ini adalah tidak membenarkan kanak-kanak sama ada belum atau sudah mumaiyiz untuk melakukan transaksi jual beli. Disyaratkan mestilah mencapai tahap baligh dahulu untuk terlibat dalam proses jual beli.

Namun, untuk transaksi jual beli barangan yang murah dan kecil gula-gula atau coklat, ada sebahagian pandangan membenar dan mengharuskannya.

Mazhab Hanbali

Dalam mazhab ini juga mensyaratkan kewarasan seseorang(al-rusyd) dalam proses jual beli. Tetapi untuk barangan yang kecil seperti sebuku roti, seikat sayur, gula-gula dan seumpamanya dibolehkan.

Perkara kecil ini pula menurut pihak Mufti Wilayah Persekutuan, ditentukan oleh adat setempat yang melihatnya sama ada ia suatu benda yang ringan atau tidak. Jika jual beli benda besar dan berharga pula, kanak-kanak perlu mendapat keizinan dan kelulusan penjaga.

Rasulullah SAW bersabda:

Telah diangkat pena daripada tiga golongan: (Iaitu) dari orang yang tidur sehingga dia terjaga, dari seorang kanak-kanak sehingga dia baligh dan dari orang yang gila sehingga dia sedar.” (Riwayat Abu Daud (4403)

Maksud telah diangkat pena di sini adalah apa yang dilakukan tidak diambil kira, dan orang yang tidak diambil kira tindakannya tidak berkelayakan melakukannya.

Secara kesimpulannya, hukum kanak-kanak melakukan transaksi jual beli adalah tidak sah kecuali pada perkara dan benda kecil sahaja. Bagi suatu benda yang besar dan bernilai tinggi, maka ia perlu mendapat keizinan dan kelulusan penjaganya. Jika tidak ada kelulusan dari penjaga, maka jual beli itu tidak sah.

Sumber:

Muhd Farhan. (2022). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-741: Hukum Kanak-kanak Melakukan Transaksi Jual Beli. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami