Oleh Natirah Azira • 13 Jan 2023 • 2 min baca
Wasiat secara mudahnya dapat difahami sebagai satu ikrar yang dibuat oleh seseorang semasa dia masih hidup tentang hartanya atau manfaat hartanya selepas dia mati. Jika seseorang berwasiat untuk memberikan hartanya kepada suatu pihak, maka harta itu tidak termasuk dalam pembahagian faraid selepas dia meninggal dunia.
Namun, wasiat tidak cukup sekadar ucapan secara lisan dan diwasiatkan harta kepada sesiapa sahaja. Mengikut undang-undang, wasiat ada syarat-syarat tertentu dan yang paling penting memerlukan proses dokumentasi untuk dibuktikan di mahkamah kelak.
Melihat kepada peranan wasiat yang besar dalam pengurusan harta umat Islam, pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengambil inisiatif untuk memudahkan proses ini dengan mewujudkan sebuah platform e-wasiat yang dinamakan ‘Siswa’. Platform ini dilancarkan secara rasmi pada Jun 2022 dan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.
Pengguna boleh mendaftar secara mudah dengan mengisi beberapa maklumat seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon, emel dan kata laluan di laman siswa.mais.gov.my
Melaluinya, anda boleh melakukan pendaftaran surat wasiat dan pelantikan wasi’ (pentadbir untuk menguruskan wasiat). Selain itu, di laman web Siswa, terdapat juga fungsi proses permohonan hibah. Setelah lengkap diisi dan diluluskan, pengguna boleh melihat status wasiat lengkap dan status pindaan wasiat.
Sebelum ini, MAIS juga pernah hadir dengan platform pengurusan harta yang lain iaitu E-Faraid untuk memudahkan proses pengurusan harta pusaka. Usaha ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh pengguna Islam di seluruh Malaysia.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.