Ibadah

Adakah Sunat Berbaring Sekejap Selepas Menunaikan Solat Sunat Fajar?

Oleh Natirah Azira  •  9 Jan 2023  •  2 min baca

Solat sunat fajar atau solat sunat (sebelum) Subuh adalah solat sunat yang sangat diambil berat oleh Rasulullah SAW. Pahalanya cukup besar sehingga diungkapkan oleh baginda dalam hadis Riwayat Muslim bahawa, “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”. Menurut Imam al-Nawawi, maksud dunia dan seisinya ialah kesenangan dunia.

Di samping solat sunat fajar ini, sebenarnya ada amalan sunat lain yang mengiringinya, iaitu berbaring sebentar selepas menunaikan solat sunat fajar. Ia berdasarkan dalil sahih, dari Aisyah R.anha berkata:

“Nabi SAW apabila selesai mengerjakan dua rakaat sunnah Fajar, baginda berbaring atas sisinya yang kanan” (HR. Bukhari, no.1160)

Hikmah kepada perbuatan ini adalah untuk memberi semangat berupa kerehatan sekejap kepada orang yang menunaikan solat sunat, kerana kebiasaannya ada solat-solat sunat lain dilakukan pada sepertiga malam. Ada juga yang mengatakan ia sebagai pemisah antara solat sunat fajar (solat sunat sebelum Subuh) dan Solat Subuh.

“Disunatkan berbaring pada lambung (sisi badan) kanan selepas solat sunat al-Fajar dan perlulah menunaikan solat sunat tersebut di awal waktu. Selain itu juga, seboleh-bolehnya tidak ditinggalkan berbaring (selepas daripada solat sunat). Jika tidak, pisahkan (antara solat sunat al-Fajar dan solat al-Fajar) dengan bercakap atau beralih tempat atau seumpama dengannya”.(Lihat: al-Mu’tamad, 377/1)

Justeru, perbuatan berbaring selepas solat sunat Fajar ini lebih digalakkan bagi sesiapa yang menunaikan solat malam dan tidak bagi sesiapa yang tidak menunaikan solat malam. Ia juga disarankan untuk dilakukan di rumah sahaja, dan bukan di masjid, agar ia tidak menimbulkan gangguan terhadap jemaah lain.

Sumber:

Muhammad Mushfique bin Ahmad Ayoup. (2016). Irsyad Al-Hadith Siri Ke- 152: Sifat Solat Malam Nabi SAW. Mufti Wilayah Persekutuan.
Muhammad Abduh Tuasikal. (2022). Bulughul Maram – Shalat: Apakah Ada Sunnah Tidur Berbaring Bakda Shalat Sunnah Fajar? Rumaysho.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami