“Make-up berjam-jam, tapi kalau tengok biliknya nauzubillah”
“Pakai minyak wangi harum semerbak, tapi rupanya jeans tak berbasuh sebulan”
Ini kata-kata yang kerap berdengung di media sosial. Malah sekarang Tiktok menjadi medan orang melepaskan geram. Rakaman video keadaan rumah sewa yang sangat kotor dikongsikan kepada umum bagi menggambarkan tabiat dan kelakukan teman serumah masing-masing. Peti ais berkulat, ruangan dapur penuh botol dan plastik makanan bersepah tidak berkemas.
Keadaan ini jelas tidak memberi keselesaan kepada penghuninya. Dan yang utamanya ia bertentangan dengan prinsip kebersihan dalam Islam sendiri.
Orang yang berhadapan dengan hal ini akan bertanya persoalan yang memeningkan; apakah yang membuatkan seseorang tidak suka mengemas?
Jawapan mudah boleh jadi kerana tabiat yang sudah dibawa dari rumah. Ia tidak mungkin berlaku tiba-tiba. Mereka terbiasa berada dalam keadaan yang tidak kemas, dan tidak nampak itu sebagai suatu masalah.
Kedua, mungkin kerana tidak diajar cara berkemas dan apa yang perlu dikemas. Definisi kemas pula berbeza. Di rumah sendiri, kemas itu mungkin sekadar mencuci pinggan di sinki tanpa mengelap meja selepas makan, atau hanya menyapu lantai seminggu sekali. Sedangkan bagi orang lain, kemas itu ialah mengelap meja, membuang botol kosong tak diguna dan menyapu setiap hari.
Ketiga, boleh jadi kerana aktiviti mengemas dianggap suatu yang sangat membeban dan memenatkan. Waktu yang lama diperlukan untuk memastikan bilik kemas dek kain yang telah berlonggok lama, dapur yang berminyak lama dan bilik air yang telah berkulat
Keempat, mungkin kerana diri dan fikiran disibukkan dengan perkara lain, sama ada kerja, pelajaran atau hiburan seperti menonton cerita atau bermain video game berjam-jam.
Kelima, sikap bertangguh yang akhirnya menjadikan sampah atau kekotoran yang asalnya satu, bertambah jadi dua, tiga, empat dan akhirnya tidak terkira banyaknya.
Namun, apa pun sebabnya, sebab tidak boleh tinggal hanya sebab dan tak diubah. Apabila hidup menyewa bersama-sama, tanggungjawab bukan hanya terpikul di atas bahu seorang penghuni sahaja.
Sikap tidak suka mengemas juga dikira gangguan kepada penghuni lain yang jelas dilarang dalam Islam. Jika umat Islam dilarang mengganggu jiran, apatah lagi rakan yang duduk bersama di dalam rumah.
Bagi anda yang rasa sangat berat untuk membiasakan tabiat mengemas, mungkin langkah-langkah mudah ini boleh dicuba:
Pilih satu tindakan kecil yang ingin diubah contohnya mengutip nasi yang tumpah di atas meja selepas makan. Jadikan ia amalan untuk sentiasa memeriksa jika ada nasi yang tumpah. Kemudian, perlahan-lahan anda boleh menambah kepada mengelap meja selepas makan, dan juga mengelap dapur selepas digunakan.
Kadang-kadang, apabila duduk serumah dengan penyewa lain, barang yang digunakan dikongsi bersama-sama. Ada yang tidak suka memegang kain lap yang sudah gelap kehitaman, atau span basuh yang sudah robek sana-sini. Jadi, anda boleh gunakan kain lap sendiri yang baru atau jenis span yang anda sukai.
Buat peraturan untuk diri sendiri untuk satu perkara pada satu-satu masa. Contohnya jika anda malas mengemas keseluruhan bilik, mulakan dengan memastikan bakul baju kotor tidak melimpah, bermakna anda mesti membasuh baju-baju kotor dan tidak membiarkan lama di dalam bakul. Percayalah, jika anda dapat mencapai target sendiri, kepuasan pasti dapat dirasa.
Jika mengemas terasa memenatkan, anda boleh pilih satu ruang kecil untuk dikemas dahulu contohnya meja makan, sinki, mangkuk tandas atau rak kasut. Setelah ia menjadi kebiasaan, barulah pilih ruang yang lebih besar seperti peti ais, dapur atau balkoni.
Suatu tabiat perlu bermula dari perbuatan yang diulang-ulang. Kita telah dewasa dan perlu belajar melaksanakan tanggungjawab. Mengemas tidak boleh hanya ikut ‘mood’ tetapi ia kemestian dan keperluan yang perlu dilakukan. Kelak, anda akan menjadi suami dan isteri, kemudian ibu dan bapa yang perlu menguruskan rumah tangga.
Mungkin selama ini fikiran anda kerap serabut, rasa susah untuk fokus kerana keadaan sekeliling yang kurang terurus. Percayalah, minda anda akan rasa lebih tenang dan lapang setelah keadaan sekeliling anda kemas dan teratur.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.