Inspirasi

4 Cara Menguruskan Ketakutan & Meningkatkan Keberanian

Oleh Natirah Azira  •  8 Nov 2022  •  4 min baca

Rasa tidak yakin atau tidak berani boleh berlaku dalam banyak keadaan. Ia juga biasanya datang sekali dengan perasaan takut yang entah dari mana.

Jika pada zaman dahulu, kita rasa takut apabila ada ancaman di sekitar. Kita rasa tidak selamat, maka kita akan lebih berwaspada. Tetapi sekarang, ketakutan banyak berkait dengan kepercayaan kepada diri sendiri. Kita akan takut dan mengelak apabila ia mencabar diri.

Tetapi berani tidak datang sendiri. Kita perlu mengatur strategi. Berikut empat cara untuk menguruskan ketakutan dan menambahkan keberanian.

#1- Ingatkan Diri Bahawa Ketakutan Tidak Selalunya Bermanfaat

Ketakutan adalah satu reaksi normal yang akan timbul apabila kita berhadapan dengan situasi yang tidak selamat seperti melintas di jalan yang sangat sibuk. Apabila kita perlu berucap di hadapan orang ramai pula, takut adalah tanda yang membantu kita untuk lebih bersedia.

Tetapi, ada kalanya kita perlu menilai kewajaran memiliki rasa takut. Anda boleh bertanya soalan seperti;

“Apa yang aku dapat bila rasa takut?”

“Adakah lebih banyak manfaat atau keburukan dari rasa takut ini?”

Jika kita terlalu melayan rasa takut, kita akan terlepas peluang mencuba perkara baru dan menikmati hidup.

Soalan yang boleh ditanyakan kepada diri juga ialah;

“Adakah aku perlu mengelak daripada rasa sakit, atau aku perlu rasa sakit sedikit demi perkembangan diri?”

#2- Fokus Kepada Matlamat

Berani. Sebutnya mudah, tapi untuk merealisasikannya ramai yang rasa susah. Simon Sinek, seorang penulis buku yang kerap memberikan ceramah berkaitan pembangunan diri mengatakan bahawa apabila kita tahu ‘purpose’ (tujuan dan matlamat) dalam apa jua tindakan yang perlu dibuat, keberanian akan perlahan-lahan datang dengan sendirinya.

Contohnya, apabila perlu bercakap di pentas, akan ada rasa gugup dan bimbang datang, tetapi jika kita sedar bahawa tujuan kita bercakap adalah untuk menyampaikan ilmu yang penting kepada orang, maka kita akan mula fokus kepada isi yang ingin disampaikan bukan lagi kepada suara yang tak sedap, atau rasa gugup tersebut. Matlamat yang lebih penting pada waktu itu ialah menyampaikan ilmu.

#3- Keluar Daripada Zon Selesa Perlahan-lahan

Jadi lebih berani tidak berlaku dalam satu hari. Perubahan perlukan proses, dan proses memerlukan masa. Masa yang diperlukan pula berbeza-beza bagi setiap orang.

Jadi, mulakan langkah kecil satu demi satu.

Contohnya, jika anda rasa takut untuk bercakap dengan orang yang baru dikenali, mula dengan perbualan ringkas dengan orang yang anda jarang atau ada kebarangkalian rendah untuk jumpa lagi. Contohnya dengan orang yang di depan anda semasa sedang beratur mengambil duit, atau dengan juruwang semasa membayar harga makanan.

Apabila sudah mula selesa, barulah luaskan sedikit skop dan panjangkan perbualan dengan orang yang akan anda jumpa lagi seperti kawan kepada kawan anda, klien dan lain-lain.

#4- Lihat Secara Objektif

Kadang-kadang kita rasa tidak yakin, kerana kita meletakkan makna yang buruk kepada suatu pengalaman.

Contoh situasinya apabila kita bercakap di hadapan, dan ada orang yang mengetawakan kita, lalu kita berfikir bahawa kita tidak pandai bercakap, dan ia memalukan.

Makna yang kita letakkan pada situasi itu ialah ‘aku tidak pandai bercakap’ , ‘diketawakan adalah hal yang memalukan’, atau ‘diketawakan seperti aku tidak ada harga diri’, maka hati kita akan lebih terluka dan kita tidak mahu mencuba lagi lain kali.

Tetapi bayangkan jika kita meletakkan makna yang berbeza pada situasi di atas. Diketawakan mungkin bukan kerana kita tidak pandai bercakap, tetapi fakta yang kita kongsikan salah, jadi lain kali kita akan menyemak terlebih dahulu. Makna lain juga, ‘ketawa hanyalah satu bentuk respon’ yang diberikan sahaja dan ‘tidak ada kena mengena dengan kemampuan dan harga diri’ kita.

Lihat, berbeza bukan kesannya kepada keyakinan diri apabila kita meletakkan makna yang berbeza kepada apa yang berlaku. Ia melibatkan soal kepercayaan. Apa yang kita percaya sebenarnya pada situasi itu?

Kesimpulan

Keberanian memerlukan pengalaman dan kemahiran. Latih dahulu pemikiran dan juga tindakan dengan cara yang tersusun yang boleh menajamkan keberanian. Tidak perlu susah hati dan memaksa-maksa diri jadi berani, kita hanya perlu bertindak, dan suatu hari nanti keberanian akan tiba sendiri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami