Keluarga

Untuk Rasa Tenang Dalam Rumahtangga, Ini 3 Perkara Yang Boleh Anda Cuba

Oleh Natirah Azira  •  7 Oct 2022  •  3 min baca

Cinta, suka, selesa, serasi – perasaan-perasaan awal yang timbul apabila sukakan seseorang. Perasaan ini boleh membawa kepada keputusan untuk berkahwin dan bersama mereka sepanjang hidup.

Setelah berkahwin, perasaan ini masih ada, cuma masalah dan konflik yang timbul ditambah dengan urusan-urusan yang perlu dibereskan setiap hari memerlukan kemahiran dan kualiti lain yang ada pada diri seseorang, bukan hanya perasaan cinta, suka, selesa dan serasi.

Di hujungnya, perasaan yang diinginkan daripada sebuah perkahwinan sudah pastilah KETENANGAN.

Tapi ketenangan tidak datang begitu sahaja. Ia perlu diusahakan. Persoalannya, sebagai suami atau isteri, apa yang telah kita buat dalam perkahwinan untuk mencapai ketenangan yang kita mahukan?

#1 – Iceberg Emosi

Anda tahu ‘Iceberg’? Bongkah ais yang terapung di laut di bahagian kutub bumi yang sejuk. Yang nampak hanya sedikit bahagian permukaannya sahaja bukan? Sedangkan yang lebih besar tenggelam di bawah.

Begitu juga emosi seorang manusia. Seringkali yang kita nampak ialah bahagian emosi yang diluahkan contohnya marah. Bahagian yang tenggelam mungkin penat, kecewa, sedih, geram dan sakit hati.

Apabila berkomunikasi dengan pasangan, penting untuk lebih dahulu cuba faham apa yang berada di sebalik emosi yang ditunjukkan. Yang dilihat mungkin bebelan dan wajah tidak puas hati, tetapi yang terselindung ialah rasa-rasa yang pelbagai lagi.

#2 – Elak Membandingkan Kepenatan Siapa Lebih Besar

Dalam kehidupan seharian yang cukup sibuk, kita mudah termasuk ke dalam pertandingan membanding-bandingkan kepenatan siapa yang lagi banyak dan besar.

“Saya pagi keluar kena hantar anak dulu, balik pun saya ambil”

“Saya balik kena masak, basuh baju lagi. Awak sampai rumah dah terus rehat, main game

Apabila badan dalam keadaan penat, kita mudah mengheret segala macam perkara yang telah dibuat untuk dibanding-bandingkan dengan pasangan. Perasaan yang timbul ialah ‘rasa tak adil’ dan ‘rasa tak difahami’.

Daripada membanding-bandingkan, apa kata berbincang dan bahagikan tugasan yang dipersetujui bersama-sama. Tetapi walau jadual tugasan sudah ada, anda boleh lebih fleksibel jika ada perkara-perkara tak dijangka berlaku yang memerlukan rutin diubah mengikut keperluan.

#3 – Tanya Apa Yang Pasangan Perlukan

Komunikasi perlu berjalan dua hala. Suasana yang tegang dan keruh mungkin boleh dijernihkan dengan mula bertanya apa yang pasangan perlukan.

Pertanyaan begini memberi mesej bahawa kita ingin memahami pasangan dengan lebih baik. Kita ingin mencari jalan penyelesaian dan bukan hanya menegakkan apa yang kita mahu.

“Asyik saya saja yang faham dia. Dia tak pernah nak faham saya!”

Jika anda rasa hanya anda sahaja yang memberi dan memahami, sedangkan anda tidak mendapat balasan yang sama, ajaklah pasangan duduk berbincang dan capai kata sepakat.

“Saya dah cuba beri apa yang awak perlu. Saya harap awak pun cuba beri apa yang saya perlukan”

Kesimpulan

Untuk mendapatkan ketenangan, ada cara yang perlu diubah, ada tabiat yang perlu diperbaiki. Perubahan perlukan kesedaran dan kesediaan kedua belah pihak. Perkahwinan bukan bertujuan memenuhi keperluan dan kemahuan satu pihak sahaja.

Di akhirnya, suami atau isteri perlu sedar dan ingat kembali matlamat utama perkahwinan ialah ketenangan dan kebahagiaan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami