Oleh Natirah Azira • 5 Oct 2022 • 3 min baca
Pernah tak nampak perjalanan hidup orang lain seolah-olah lancar? Dari zaman sekolah dia pelajar cemerlang. Di universiti ambil bidang yang diminati, kemudian bekerja juga dalam bidang yang sama semasa belajar.
“Smooth!”
Sedangkan hidup sendiri sudah berapa kali ‘u-turn’, berapa kali tersilap jalan, berapa kali tersadung dan terjatuh. Pemikiran yang mungkin muncul tanpa kita sedar dalam benak ialah – kita sudah gagal dan tersilap banyak kali. Mengapa terlalu sukar sampai ke matlamat yang dimahukan.
Tapi kata Mufti Menk, perkara yang yang lambat berlaku, yang mengecewakan, yang perlu dimulakan semula dari awal semuanya sebahagian daripada perancangan Tuhan.
Pengajaran bermakna akan dikutip sepanjang jalan. Dan kita yang dipilih menjalaninya, perlu belajar sebanyak mungkin pelajaran yang Tuhan sediakan. Di penghujungnya, kita akan menjadi orang yang lebih kuat dan cekal.
“Delays, disappointment and detours are all part of the Almighty’s plan. You have to understand that. Valuable lessons will be taught along the way. You should try to learn as many of them. Not only will you emerge stronger, you’ll also be grateful for all He’s put you through.”
Perjalanan hidup yang bersimpang-siur tidak bermakna kita telah gagal. Jalan yang terbaik juga tidak semestinya yang lurus sahaja. Jika kegagalan dan kejayaan diukur dengan jalan yang lurus atau bengkang-bengkok, lambat atau cepat, mudah atau susah, maka ia pandangan yang sangat singkat.
Jika jalan yang ditempuh panjang, tetapi pelajaran yang dipelajari sepanjang menempuh jalan tersebut membuatkan kita lebih bijaksana dan rendah hati, bukankah ia satu kejayaan yang bermakna?
Orang boleh mengulas apa sahaja tentang hidup kita tetapi tidak semuanya perlu kita percaya.
Kita juga perlu faham bahawa definisi gagal dan berjaya berbeza-beza bagi setiap orang. Perbezaan ini disebabkan pengalaman dan perjalanan hidup mereka sendiri. Jadi, apabila mereka mengulas dan memberi komen kepada kita, ia mungkin dibayangi oleh pengalaman mereka yang sudah tentu tidak ada kena mengena dengan diri kita.
Jadi tapis terlebih dahulu komen dan ulasan yang diberikan orang.
Kita faham suatu perkataan apabila kita mula memahami makna di sebalik perkataan tersebut. Persoalannya dari mana kita faham makna gagal?
Jika sejak kecil ibu bapa dan orang sekeliling telah menunjukkan makna gagal itu adalah apabila tidak mencapai suatu yang dinginkan, jadi itulah makna gagal yang akan kita faham sehingga besar.
Jika dari kecil, kita diajar bahawa gagal itu bukan bermakna kalah tetapi proses untuk mencari jalan lain bagi mencapai apa yang dimahukan, maka itulah pemahaman gagal yang akan dipegang.
Pemahaman kepada makna gagal juga datang bersama emosi. Jika gagal sudah biasa digandingkan dengan rasa sedih dan kecewa, maka mungkin sebab itulah perkataan gagal bunyinya terlalu teruk pada sesetengah orang.
Jika gagal biasa digandingkan dengan perasaan semangat untuk mencuba lagi atau rasa geram kerana belum berjaya, kesannya pasti berbeza.
Di akhirnya, kita perlu meletakkan definisi sendiri – apa itu gagal atau berjaya?
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.