Oleh Natirah Azira • 28 Sep 2022 • 3 min baca
Dalam kisah-kisah yang diabadikan melalui hadis, ada penceritaan tentang individu-individu yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah SAW.
Apabila Allah dan Rasulullah SAW sendiri sudah menjamin syurga untuk individu-individu ini, sudah pasti mereka ialah orang yang hebat dan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.
Antaranya ialah empat khalifah utama dalam Islam iaitu Saidina Abu Bakar, Saidina Umar bin Al-Khattab, Saidina Ali dan Saidina Uthman. Selain itu juga, Talhah bin Ubaidillah sahabat Nabi SAW yang cedera teruk dalam perang Uhud juga dijamin syurga, Bilal yang syahid kerana mempertahankan keimanan lalu dikisahkan tapak kakinya didengari di syurga dan beberapa sahabat Nabi SAW lain.
Tapi tahu atau tidak, jaminan syurga ini sebenarnya bukan untuk mereka yang namanya disebut sahaja. Sebenarnya ada amalan yang disebut secara jelas akan membuatkan kita dapat ‘booking’ tempat di syurga.
Daripada Abu Umamah RA, ia berkata Rasulullah SAW bersabda, “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun dia berada dalam kebenaran. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan kedustaan meskipun bersifat gurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.” [(HR Abu Daud No: 4800) Status Hadis Hasan]
Rata-rata orang yang berdebat ingin mempertahankan dirinya di pihak yang benar. Manakala kata-mengata pula kadang-kadang berselindung di sebalik alasan bergurau. Justeru, ketiga-tiga amalan yang disebutkan di atas nampak ringkas, tetapi sebenarnya memerlukan kekuatan diri dan iman.
Dari Ibnu Abbas RA.anhuma berkata: “Barangsiapa yang memelihara anak yatim dan memberinya makan dan minum nescaya Allah akan memasukkannya ke dalam syurga kecuali jika dia melakukan dosa yang tidak dapat diampuni.” (HR Tirmidzi – 1840)
Anak-anak yatim ialah golongan yang perlukan perlindungan, penjagaan dan kasih sayang kerana mereka sudah hilang tempat bergantung daripada orang dewasa yang boleh dipanggil ayah dan ibu.
Jaminan ini ada disebut dalam satu hadis panjang berkenaan golongan yang akan memasuki syurga tanpa hisab. Potongan hadis tersebut adalah seperti di bawah.
“…Baginda keluar dari rumahnya dan bersabda : Orang yang akan masuk syurga tanpa hisab adalah mereka yang tidak meminta jampi, tidak menilik nasib, tidak mencederakan dirinya dan sentiasa bertawakal kepada Tuhan.” [Riwayat Al-Bukhari (6472)]
Lihat, bukan hanya dijamin syurga bahkan dapat jalan pintas ‘fast lane’ ke syurga. Allah pasti tahu perkara-perkara yang disebut di atas menjadi cabaran umat manusia lebih-lebih lagi dalam hidup yang sukar dan menekan sekarang.
Ada yang meminta bantuan jin, memakai jampi dan tangkal untuk melariskan jualan. Ada yang menyantau orang lain kerana dengki dan ada pula yang mengalami masalah hingga hilang rasa tawakkal dan berharap pada Tuhan. Maka tidak mustahil jika perkara-perkara ini menjadi syarat untuk balasan syurga tanpa hisab.
Kita sedar diri bahawa kita hanya orang biasa-biasa dalam beramal kepada Tuhan. Kadang-kadang ada amalan wajib yang lompong, amalan sunat yang sekejap ada sekejap tenggelam serta hati yang kadang-kala tidak benar-benar ikhlas.
Tapi, hakikatnya masih ada cara untuk kita mendapat nasib yang baik di akhirat kelak. Sekarang mungkin kita tidak rasa perlu untuk meningkatkan usaha, tapi percayalah bahawa semua usaha ini diperlukan di ‘dunia sana’. Jadi, ambil lah peluang untuk melakukan amalan-amalan yang sudah ada cop jaminan bahawa balasannya syurga, tempat tinggal yang paling diimpikan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.