Hukum

Betulkah Melihat Ibu Bapa, Al-Quran, Kaabah Dan Lautan Ialah Ibadah?

Oleh Natirah Azira  •  29 Aug 2022  •  2 min baca

Terlalu banyak hadis-hadis yang berlegar dalam kalangan kita sama ada melalui media sosial atau ceramah-ceramah agama yang mengetengahkan hadis yang diragui kesahihannya.

Kebiasaannya ia tentang kelebihan dan fadilat jika mengamalkan sekian-sekian perkara, dan disandarkan pula kepada amalan Nabi SAW. Walau bagaimanapun, baginda telah mengingatkan bahawa menyandarkan sewenang-wenangnya suatu hal kepada baginda ialah perbuatan dosa yang berat di sisi agama.

Nabi SAW bersabda:

مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” [Riwayat al-Bukhari (107)]

Salah satu hadis yang biasa kita dengar ialah berkenaan melihat wajah ibu bapa, Al-Quran, Kaabah dan laut sudah dikira ibadah. Ia berdasarkan suatu hadis yang disebutkan oleh Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam al-Gharib al-Multaqitah min Musnad al-Firdaus, beliau menyebutkan bahawa:

Abu Nuaim berkata :” Abdullah Bin Muhammad Bin Jaafar menceritakan kepada kami : Abdullah Bin Muhammad bin Zakaria menceritakan kepada kami : Sa’id bin Yahya menceritakan kepada kami : Zafir menceritakan kepada kami daripada Abu Uthman daripada Yahya Bin Said daripada Muhammad bin Ibrahim daripada ‘Aisyah r.anha. Beliau berkata : Rasulullah saw bersabda : “Melihat pada tiga perkara (ini) adalah ibadah : melihat kepada wajah kedua ibu bapa, melihat mushaf (al-Quran) dan melihat laut.” [Rujuk al-Gharaib al-Multaqitah Min Musnad al-Firdaus (2688)]

Manakala dalam satu riwayat lain dimasukkan juga satu lagi perkara yang jika dilihat sahaja pun akan memperoleh pahala iaitu Kaabah.

Diriwayatkan oleh al-Dailami daripada sahabat yang sama iaitu Ummul Mukminin ‘Aisyah r.anha :

النَّظَرُ إِلَى الْكَعْبةِ عِبَادَة، وَالنَّظَرُ إِلَى وَجْهِ الْوَالِدَينِ عِبَادَةٌ، وَالنَّظَرُ فِي كِتَابِ اللَهِ عِبَادَةٌ

Maksudnya : “Melihat kaabah adalah ibadah, melihat kepada wajah kedua ibu bapa adalah ibadah dan melihat kitab Allah (al-Quran) adalah ibadah.” [(Riwayat al-Dailami (6863) dalam Kitab Al-Firdaus bi Ma’thur al-Khitab (2969)]

Taraf Hadis

Walau bagaimanapun, menurut penilaian daripada pihak Dr Zulfikri Mohamad Al-Bakri, hadis tersebut ialah hadis yang lemah kerana ada perawi yang dikritik kredibilitinya. Perawi itu ialah Zafir Abu Sulaiman al-Quhastani, yang dinilai sebagai perawi yang lemah.

Ibnu ‘Adiy mengulas tentang Zafir dan mengatakan bahawa dia merupakan perawi yang lemah, dan apa yang diriwayatkan oleh beliau tidak boleh dijadikan sandaran.

Selain itu, Kitab Firdaus yang disebutkan sebagai sumber kepada hadis di atas ialah kitab yang dikumpulkan hadis-hadis yang lemah dan palsu, justeru perlu berhati-hati.

Sumber:
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2022). #767: Melihat Kaabah Ibadah. Maktabah Al-Bakri.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami