Inspirasi

6 Cara Bagaimana Untuk Menjadi Muslim Yang Tawaduk

Oleh Natirah Azira  •  19 Aug 2022  •  3 min baca

Tawaduk dapat difahami sebagai sikap rendah hati (bukan menghinakan diri). Ia adalah sikap pertengahan antara sombong dan juga menghinakan diri (menganggap diri tidak ada nilai dan kepentingan).

Menurut Ibnu Hajar dalam Kitab Fathul Bari (11/341) mengatakan bahawa tawaduk ialah menampakkan diri lebih rendah daripada orang yang mengagungkannya. Ada pula yang mengatakan bahawa tawaduk adalah memuliakan orang yang lebih mulia darinya.

Jika dilihat dalam kehidupan seharian, situasi tawaduk (humility) adalah apabila:

  • Boleh menerima teguran dan nasihat yang membina
  • Sedar kelebihan dan kekurangan diri
  • Empati terhadap situasi dan keperluan orang lain

Mari kita lihat pula bagaimana untuk memupuk sifat tawaduk ini:

#1- Sentiasa Ingat Bahawa Allah Paling Berkuasa

Dalam kehidupan seharian yang serba pantas dan bersimpang siur antara tugas ke tugas lain, tidak dinafikan agak mencabar untuk sentiasa mengingati Allah dan meyakini bahawa Allah berkuasa mengawal setiap aspek kehidupan.

Tetapi, tidak dapat tidak, kita perlu melatih diri – boleh juga menyebut dalam hati bahawa Allah Maha Berkuasa mentadbir segalanya.

#2- Pohon Petunjuk Melalui Doa dan Juga Sumber Ilmu Yang Tepat

Doa adalah petunjuk bagi orang Islam. Lazimilah doa setiap masa dan minta petunjuk kepada Allah agar sentiasa dipandu ke jalan kebaikan. Selain itu, anda juga boleh merujuk kepada ahli sumber ilmu agama yang benar untuk amalan-amalan pembaikan diri.

#3- Fahami Nilai Diri Sebenar

Manusia adalah sebaik-baik makhluk yang diciptakan oleh Allah. Taraf kita sebagai hamba Allah lah yang akan menjadikan kita mulia, bukan kerana pangkat, kemahiran, pencapaian dan kekayaan.

Apabila kita sedar perkara ini, kita faham bahawa setiap orang sama sahaja tarafnya – iaitu hamba Allah. Tidak ada yang perlu menyombongkan diri antara satu sama lain.

#4- Fokus Kepada Pembaikan Diri

Cukup mudah untuk menghakimi orang lain berbanding diri sendiri. Kata orang, jika kita menghalakan satu jari ke arah orang lain, empat lagi berbalik kepada kita. Perumpamaan ini mengingatkan kita supaya lebih teliti untuk melihat kepada diri sendiri.

Ambil langkah bagaimana untuk memperbaiki diri sendiri berbanding menghakimi orang lain. Lebih-lebih lagi, anda hanya bertanggungjawab terhadap perlakuan diri. Sekalipun anda mempunyai kemahiran tertentu, bukankah perkembangan diri adalah proses sepanjang hidup.

#5- Bersyukur Dengan Apa Yang Ada Setakat Ini

Cukup mudah sekarang untuk melihat orang lain dan menginginkan apa yang orang lain ada. Walau bagaimanapun, rasa tawaduk juga mempunyai elemen kesyukuran.

Tidak salah bercita-cita untuk lebih berkembang dalam hidup, tetapi dalam masa sama rasa syukur juga perlu ada. Kita tidak akan sampai ke tahap sekarang tanpa pertolongan daripada Allah SWT.

#6- Ingat Pada Kematian Dan Banyakkan Istighfar

Mengingati mati akan menghapuskan kelazatan dunia. Dalam kita menempuh hari-hari yang sibuk, selitlah ingatan kepada kematian agar kita sentiasa sedar bahawa kehidupan di dunia ini sementara sahaja. Orang yang mengingati mati tidak akan berasa ingin membangga diri kerana sedar bahawa segalanya akan luput dan hilang.

Rasa tawaduk atau rendah hati tidak akan membuatkan kita kekurangan apa-apa. Orang yang rendah hati secara tidak langsung akan disegani dan dihormati.

Orang yang tawaduk tahu siapa dirinya, menerima kekurangan dan kelebihan diri serta tidak berlebih-lebihan dalam bertingkah-laku. Semoga kita dapat menyuburkan sikap tawaduk dalam diri.

Rujukan:
Iffat Fatima. (2022). How To Become a Humble Muslim Without Losing Self-Esteem. Ayeina.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami