Inspirasi

Binatang Pelik Dan Boleh Bercakap Akan Keluar Dari Bumi Menjelang Kiamat

Oleh Natirah Azira  •  19 Aug 2022  •  4 min baca

Terdapat banyak tanda-tanda kiamat yang diceritakan dalam nas sama ada Al-Quran atau hadis seperti turunnya Nabi Isa AS, datangnya Ad-Dukhan (asap) yang akan meliputi bumi dan datangnya Dajjal. Ia kadangkala terdengar aneh di telinga, tetapi apalah yang mustahil bagi Allah, bukan?

Jika dari dalam filem ciptaan Barat segala macam benda pelik berkaitan bencana alam, makhluk asing dan raksasa dipaparkan hasil imaginasi manusia dan kita boleh terkesan dengan penceritaannya, apatah lagi dengan apa yang mampu Allah lakukan, tak terjangkau dek imaginasi kita.

Dalam artikel kali ini, Tzkrh ingin berkongsi dengan pembaca satu tanda kiamat yang Allah sebutkan secara jelas dalam Al-Quran. Ia tentang satu binatang pelik yang akan muncul menjelang kiamat kelak dari dalam bumi dipanggil Dabbatul Ardh. Maklumat tentang penceritaan Dabbatul Ardh ini diambil dan diringkaskan daripada laman Web Mufti Wilayah Persekutuan.

“Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.”(Surah An-Naml 27:82)

Merujuk kepada ayat di atas, binatang ini diberi kelebihan oleh Allah untuk bercakap dengan manusia, dan memberitahu orang yang tidak beriman ketika itu bahawa tidak yakin dengan keterengan dan apa yang diturunkan oleh Allah.

Melalui satu riwayat marfu’ yang sahih, daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah SAW ada bersabda bahawa binatang ini juga akan meninggalkan tanda (bekas) pada hidung manusia, dan bilangan manusia yang mendapat tanda tersebut akan bertambah banyak.

Menurut Al-Hafiz Ibnu Hajar, datangnya Dabbatul Ardh nanti akan membezakan antara orang kafir dan orang beriman. Binatang ini akan memberi tanda kafir dan iman di dahi manusia sehingga jelas berbeza antara orang yang beriman dan orang yang kafir (Lihat Asyrat al-Sa’ah oleh Yusuf bin Abdullah al-Wabil, hlm. 330)

Bilakah Dabbatul Ardh Akan Muncul?

Menurut Imam Al-Tabari, binatang ini akan muncul apabila manusia tidak lagi menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Manakala Imam Ibnu Kathir menyatakan bahawa binatang ini akan keluar ketika zaman manusia telah rosak dan meninggalkan perintah Allah SWT. Manusia pada waktu itu tidak lagi mengikut agama tetapi kebatilan.

Waktu khusus dikatakan Dabbatul Ardh ini akan keluar pada waktu dhuha. Seperti yang terdapat dalam potongan hadis;

Sesungguhnya tanda-tanda Kiamat yang pertama kali keluar ialah terbitnya matahari dari Barat dan keluarnya binatang (Dabbah) kepada manusia pada waktu Dhuha…” [Riwayat Muslim (5238) dan Ahmad (6881)]

Turutan Peristiwa Keluar Dabbatul Ardh

Manakala turutan peristiwa keluarnya yang khusus diperbahaskan seperti di bawah:

1. Pendapat Al-Hafiz Ibn Hajar

Beliau menyebut susunannya adalah seperti berikut:

  • Keluarnya Dajjal
  • Turunnya Nabi Isa AS
  • Terbit matahari dari arah barat
  • Keluar Dabbatul Ardh pada hari terbit matahari dari Barat

2. Pendapat Imam Suyuti

Beliau berkata, daripada Wahab bin Munabbih, dikatakan susunannya adalah seperti:

  • Peperangan dengan Rom
  • Keluar Ad-Dajjal
  • Keluar Yakjuj Makjuj
  • Turunnya Nabi Isa
  • Keluarnya al-Dukhan (asap)
  • Keluarnya al-Dabbah

3. Pendapat Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi (Kitab al-Tazkirah fi Ahwal al-Dar al-Akhirah)

  • Turunnya Nabi Isa AS
  • Muncul Imam Mahdi AS
  • Muncul Dajjal
  • Keluar Yakjuj Makjuj
  • Al-Dukhan (asap)
  • Dabbatul Ardh
  • Api yang menghalau manusia
  • Terbit matahari dari Barat

Tempat Keluar Dabbatul Ardh

Berdasarkan Surah An-Naml, ayat 82, tempat keluarnya adalah dari dalam bumi, bukan dari langit dan lain-lain tempat.

Secara khususnya, terdapat banyak pendapat yang menyebutkan di mana binatang ini akan keluar. Antaranya:

1. Mekah

Imam al-Tabari dalam kitab tafsirnya berkata: “Dikatakan bahawa bumi tempat keluarnya al-Dabbah ialah Mekah.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil ay al-Qur’an, 10/14)

2. Dari rekahan Bukit Safa

Daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya: Dikeluarkan Dabbah dari rekahan di Bukit Safa.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 10/15)

3. Ajyad, Mekah (Mengikut riwayat Abu Hurairah, Ibn Amr, Ibn Umar dan Aisyah R.Anhuma)

4. Lembah Tihamah (Pendapat Ibnu Abbas RA)

5. Bukit Abu Qubais, Mekah

6. Qura

7. Masjid al-Haram

8. Rukun dan Maqam (Mekah)

Sekalipun pendapat bermacam-macam, namun kebanyakan para ulama menyebut bahawa Dabbatul Ardh akan muncul di Mekah.

Ciri-ciri Dan Rupa Bentuk Dabbatul Ardh

  • Haiwan aneh (tidak seperti haiwan biasa)
  • Berbulu
  • Berkaki empat dan berkuku
  • Tidak berekor
  • Bertanduk
  • Tinggi dan besar
  • Boleh berkata-kata dan memahami bahasa manusia
  • Akan berkata kepada orang yang tidak beriman bahawa mereka telah tidak meyakini ayat-ayat Allah (terakam dalam Surah An-Naml, ayat 82)
  • Bukan keturunan manusa
  • Bukan haiwan yang membiak, tetapi satu haiwan sahaja
  • Bukan dari keturunan haiwan yang sedia ada di muka bumi
  • Bukan makhluk asing yang datang dari langit


Kesimpulan

Dabbatul Ardh memang akan dimunculkan kelak apabila kiamat semakin dekat, sebagai salah satu tanda kiamat besar.

Sebagai umat Islam yang beriman dan percaya kepada hal-hal ghaib, maka kepercayaan kepada apa yang diperkatakan oleh Allah daripada nas Al-Quan perlu diimani walaupun belum terjadi.

Sumber:
Admin PMWP. (2019). Bayan Linnas Siri Ke-186: Dabbatul Ard: Hakikat dan Kemunculannya. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami