Inspirasi

5 Tanda Hubungan Anda Matang

Oleh Natirah Azira  •  17 Aug 2022  •  3 min baca

Pembawaan diri kita mungkin berbeza-beza bergantung kepada – dengan siapa dan di mana kita berada. Seorang yang terlihat matang di tempat kerja dan dengan rakan-rakan, tidak semestinya matang dengan pasangan sendiri.

Ada yang pandai menjaga air muka di luar tetapi lebih bersikap manipulatif dengan pasangan yang jelas tahu baik dan buruk diri. Adakah hubungan anda matang? Mari kita lihat apakah lima tandanya.

#1- Tidak Melihat Sumber Kegembiraan Hanya Daripada Pasangan

Orang yang matang tidak akan menyandarkan kebahagiaan sepenuhnya kepada orang lain. Ya, orang lain boleh melakukan tindakan yang membuatkan anda gembira, tetapi anda faham bahawa bukan hanya itu yang boleh membuatkan diri gembira.

Orang yang matang tahu apa yang dapat menggembirakan diri, baik dari sudut luaran atau dalaman, contohnya memperuntukkan wang untuk penjagaan badan setiap bulan, atau mendapatkan sokongan rakan dan keluarga jika menghadapi masalah.

#2- Suka Dan Sayang Diri

Hubungan akan menjadi tidak seimbang apabila seseorang terlalu mengidolakan pasangan sehingga menganggap orang itu lebih bernilai dan sempurna daripada diri sendiri.

Menurut penulis di laman web Harley Therapy, Andrea Darcy, hubungan yang matang bermakna kita juga ada masa dan usaha untuk sayang diri sendiri walaupun ada kelemahan. Begitu juga terhadap pasangan, kita boleh melihat kekurangan pasangan tetapi tetap menghargai mereka.

3. Membina Suasana Perhubungan Yang Selamat

Hubungan yang matang membolehkan seseorang untuk berkongsi sesuatu yang menggembirakan atau menyedihkan dengan pasangan tanpa ada rasa takut terhadap reaksi mereka.

Hal ini bukan bermakna kita tidak boleh memberi reaksi langsung jika tidak suka apa yang diberitahu, tetapi perlu tahu arah emosi tersebut – sama ada untuk menyerang peribadi mereka atau membincangkan masalah.

4. Menerima Dan Memaafkan Kesilapan Pasangan

Ada kalanya, pasangan akan melakukan silap-silap yang dapat melukakan hati, sama ada secara sengaja atau tanpa sengaja. Tetapi, seorang yang matang tahu bahawa manusia akan melakukan silap. Selagi kelakukan pasangan itu bukan toksik atau tidak sihat, maka tidak ada salahnya untuk memaafkan pasangan.

5. Anda Ada Kerjasama

Hubungan yang matang mempunyai semangat kerjasama atau kebersamaan yang kuat. Jika salah seorang mempunyai masalah, seorang lagi akan memberi sokongan dan cuba membantu jika mampu. Perselisihan yang berlaku juga dibincangkan dan diselesaikan bersama-sama.

Ia berbeza dengan hubungan yang tidak matang yang mana hanya seorang sahaja yang bertindak seakan-akan ‘ibu bapa’ (parent) kepada pasangan dan menyelesaikan masalah dan konflik yang ada. Manakala, seorang lagi berpelakuan seperti kanak-kanak yang akan selalu merajuk.

Jika masih tidak pasti adakah hubungan sekarang matang atau tidak, anda boleh melihat bagaimana reaksi anda dan pasangan apabila konflik berlaku.

Kadang-kadang, manusia masih membawa tabiat dan personaliti kekanakan ke dalam perhubungan yang mana mereka akan ‘mengamuk’, ‘lari’ atau ‘menyembunyikan diri’ apabila masalah terjadi.

Tetapi dalam perhubungan yang matang, konflik akan membuat diri semakin matang dan berkembang.

Rujukan:
Andrea M. Darcy. Mature Relationships – Is Yours One? 10 Ways To Know For Sure. Harley Therapy Counselling Blog.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami