Ibadah

Bolehkah Tidur Dahulu Walau Telah Masuk Waktu Solat

Oleh Natirah Azira  •  15 Aug 2022  •  2 min baca

Tidur adalah keperluan setiap manusia. Tidur yang berkualiti diperlukan agar kesihatan badan terjaga dan aktiviti seharian dapat dijalani dengan baik. Terlebih tidur, badan boleh jadi lemau. Kurang tidur, fokus pula mungkin akan berkurang.

Dalam Islam, tidur juga berkait dengan hukum. Ada masanya ia boleh menjadi wajib, sunat, haram dan makruh, bergantung kepada situasi dan keadaan.

Dalam kehidupan seharian umat Islam juga, aktiviti seharian berputar sekitar waktu solat yang lima – Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak.

Kadang-kadang, ada keadaan yang menyebabkan kita melewatkan waktu solat contohnya berehat kerana penat, makan kerana lapar dan sebagainya. Ada pula yang memilih untuk tidur sekalipun waktu solat telah masuk.

Contohnya yang selesai kerja lewat malam, maka apabila sampai ke rumah, katil lebih dahulu dituju untuk berehat dan tidur. Niatnya, ingin bangun semula untuk solat Isyak sebelum masuk waktu Subuh.

Apakah hukum di sebalik perbuatan ini?

Menurut pendapat Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari Rahimahullah berkenaan masalah tidur selepas masuknya waktu solat:

يكره النوم بعد دخول وقت الصلاة وقبل فعلها حيث ظن الاستيقاظ قبل ضيقه لعادة أو لإيقاظ غيره له وإلا حرم النوم الذي لم يغلب في الوقت

Maksudnya: Makruh untuk tidur selepas masuknya waktu solat dan sebelum menunaikan solat tersebut jika dia mempunyai sangkaan pada kebiasaanya dia akan bangun sebelum habisnya waktu atau dikejutkan oleh orang lain. Jika tidak, haram baginya untuk tidur (tidur yang menyebabkannya terlepas waktu solat)”. Rujuk Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrat al-‘Ain bi Muhimmat al-Din (1/89)

Secara ringkasnya, hukum tidur dahulu walau telah masuk waktu solat boleh dibahagikan kepada tiga:

Pertama, makruh untuk tidur dahulu selepas masuk waktu solat sekalipun dia yakin akan bangun untuk solat sebelum habis waktu solat.

Kedua, haram untuk tidur dahulu jika dia tidak yakin mampu bangun sebelum habisnya waktu solat.

Ketiga, harus bagi seseorang untuk tidur jika niatnya hanya untuk tidur sebentar disebabkan keadaan tertentu seperti terlalu letih atau mengantuk, dengan syarat usaha untuk bangun perlu dibuat seperti mengunci jam pada telefon pintar atau meminta sesiapa mengejutkan.

Namun, cara yang terbaik sudah pasti menunaikan kewajipan solat terlebih dahulu sebelum berehat atau tidur.

Solat fardu dalam Islam mempunyai waktu yang khusus. Sekalipun khusus, masih ada keluasan untuk melakukannya pada waktu mana asalkan dalam tempoh yang ditetapkan. Justeru, aturlah urusan seharian dengan baik agar waktu solat terjaga dan dapat ditunaikan sebaiknya.

Rujukan:
Abdurrahman. (2019). Al-Kafi #1211: Hukum Tidur Selepas Masuknya Waktu Solat. Mufti Wilayah Persekutuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami