Oleh Natirah Azira • 12 Aug 2022 • 2 min baca
Wanita solat Jumaat? Bunyinya pelik bukan. Jarang kita lihat pemandangan wanita hadir bersama-sama untuk solat Jumaat. Pengalaman penulis sendiri, pemandangan ini hanya dilihat sewaktu belajar di universiti antarabangsa di Malaysia yang terdiri daripada pelajar Muslim dari negara yang pelbagai.
Secara asasnya, kewajipan menunaikan solat Jumaat hanya bagi lelaki Muslim.
Daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.” [Riwayat Abu Daud (1067)]
Menurut penerangan daripada laman web maktabahalbakri yang dirujuk daripada Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji (1/201), perempuan tidak diwajibkan hadir menunaikan solat Jumaat kerana faktor kesibukan mereka menjaga anak-anak, urusan rumah, serta mungkin ada kepayahan buat mereka jika diwajibkan hadir ke tempat tertentu pada waktu tertentu.
Justeru, hukumnya bagi wanita adalah tidak wajib tetapi harus. Hukum ini disandarkan kepada dalil hadis yang umum iaitu:
Maksudnya: “Janganlah kamu menghalang hamba-hamba perempuan Allah daripada masjid-masjid Allah.” [Riwayat Muslim, (42)]
Walaupun perkara ini dibenarkan, keadaan dan suasana ruang solat Jumaat juga perlu diambil kira. Kadang-kadang ada masjid yang akan menggunakan ruangan solat perempuan bagi memberikan laluan kepada golongan lelaki untuk bersolat Jumaat.
Justeru, jika ruangan solat mencukupi dan tidak menyebabkan kesesakan, maka golongan wanita boleh hadir. Jika sebaliknya, maka tidak perlu bagi golongan wanita hadir ke masjid untuk bersolat Jumaat.
Kesimpulannya, hukum wanita menunaikan solat Jumaat adalah dibolehkan (harus). Solat Jumaatnya juga dikira sah dan gugur kewajipan untuk solat Zohor. Ini bermakna wanita yang telah menyempurnakan solat Jumaat tidak perlu lagi menunaikan solat Zohor.
Sumber:
Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (2021). Wanita Hadiri Solat Jumaat. maktabahalbakri.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.