Pernah rumah anda ‘black out’? Gelap tiba-tiba, langsung tidak ada cahaya. Yang pertama dicari apa agaknya pada waktu itu?
Paling mudah pasti telefon pintar yang mampu mengeluarkan cahaya lampu suluh. Jika telefon pintar kehabisan bateri, benda kedua dicari mungkin bekalan lilin (itupun jika ada).
Bayangkan jika suasana gelap gelita itu dihadapi di akhirat kelak, di ruang yang sangat luas, bukan lagi di dalam rumah. Tangan teraba-raba mencari suatu untuk berpaut. Langkah pula jadi perlahan kerana takut tersadung apa-apa yang berbahaya.
Pada waktu itu tidak ada lagi lampu suluh, telefon pintar, lilin atau apa jua jenis sumber cahaya untuk membantu perjalanan.
Allah memberi perumpamaan keadaan orang yang tidak beriman pada ketika itu seperti berada dalam kegelapan lautan pada waktu malam, ditindih ombak yang berlapis-lapis dan dalam keadaan gelita tanpa ada sedikit pun cahaya.
Yang dapat menolong pada waktu itu adalah cahaya yang sudah dicari bekalnya sewaktu di dunia iaitu solat.
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesiapa yang menjaga solatnya, maka solatnya itu akan menjadi cahaya baginya, dan bukti serta penyelamat pada hari kiamat. Dan sesiapa yang tidak menjaga solatnya maka tiadalah baginya mendapat cahaya, bukti dan keselamatan pada hari kiamat, malah pada hari itu dia akan (dibangkitkan) bersama-sama dengan Firaun, Qarun, Haman, dan Ubai bin Khalaf.” [Riwayat Ahmad (6540) dan al-Darimi (2721)]
Di dunia, memang kita tidak nampak secara zahir apakah bentuk lain bagi solat. Namun di akhirat, solat akan menjadi cahaya, bukti dan penyelamat sewaktu tidak ada benda lain yang mampu membantu ketika itu.
Dalam hadis Abu Malik Al Asy’ari, Nabi SAW bersabda,
“Solat adalah cahaya.” (HR. Muslim, no. 223)
Bukan hanya solat yang menjadi cahaya bahkan setiap anggota wuduk yang dibasuh untuk menunaikan solat juga menjadi cahaya dan tanda yang membezakan antara umat yang beriman atau tidak.
“Sesungguhnya umatku akan datang di hari kiamat dengan wajah, tangan dan kakinya cemerlang bercahaya dari bekas wudhu. Barang siapa kuasa memanjangkan cahayanya, maka lakukanlah” (Muttafaq alaih dan lafaz Imam Muslim)
Tidak dinafikan, solat adalah amalan yang berat untuk dijaga ketika di dunia. Ada masa kita rajin untuk solat, ada kala solat terasa berat. Ada pula waktu khusus, rukun dan syarat tertentu yang perlu dijaga tetapi ia berpadanan dengan nilai solat yang sama beratnya, iaitu menjadi panduan berupaya cahaya dan bukti bagi amalan.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.