Ibadah

Apa Perlu Buat Apabila Solat Lewat, Kemudian Masuk Waktu Seterusnya

Oleh Natirah Azira  •  4 Aug 2022  •  2 min baca

Sebagai umat Islam, kita sering diingatkan agar solat pada awal waktu. Urusan seharian perlu diatur sesuai dengan waktu solat agar solat tidak tertinggal dan dapat dijalankan dengan sempurna.

Walau bagaimanapun, apabila urusan terlalu padat, ada yang terkejar-kejar untuk solat. Ada kala solat dilakukan di hujung waktu – sehingga ada masanya ketika masih menunaikan solat yang terlewat, azan bagi solat seterusnya telah berkumandang. Pada waktu ini mungkin kita ragu-ragu, adakah solat yang dilakukan sah.

Apakah yang perlu dilakukan pada waktu itu? Adakah solat perlu diganti semula?

Terdapat dua pendapat yang menerangkan hal ini iaitu oleh jumhur (majoriti) dan juga pendapat Mazhab Hanafi.

Pendapat Pertama – Golongan Jumhur (Malikiyyah, Al-Syafieyyah, Al-Hanabilah)

Imam Al-Nawawi menerangkan bahawa jika sebahagian perbuatan solat dilakukan dalam waktunya, dan sebahagian lagi telah terkeluar daripada waktu, maka perkara ini perlu dinilai semula.

Jika solat yang dilakukan dalam waktu sudah mencapai had satu rakaat ke atas, maka pendapat yang paling sahih mengatakan bahawa solat itu dianggap sempurna dan mendapat keseluruhan waktu solat. Jika kurang daripada satu rakaat maka solat itu dianggap qadha (perbuatan yang dilakukan setelah tamat waktu yang ditentukan).

Ia bersumberkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anh bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنَ الصُّبْحِ رَكْعَةً قَبْلَ أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الصُّبْحَ، وَمَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الْعَصْرِ قَبْلَ أَنْ تَغْرُبَ الشَّمْسُ فَقَدْ أَدْرَكَ الْعَصْرَ

Maksudnya: Sesiapa yang sempat melakukan satu rakaat solat Subuh sebelum terbitnya matahari maka dia telah sempat melakukan solat Subuh. Dan sesiapa yang sempat melakukan satu rakaat dari solat Asar sebelum terbenamnya matahari maka sesungguhnya dia telah mencapai solat Asar. [Riwayat Al-Bukhari (579)] – Rujuk Al-Feqh Al-Manhaji (1/109).

Pendapat Kedua – Mazhab Hanafi

Pendapat kedua adalah lebih ringan di mana menurut Mazhab Hanafi, seseorang yang sedang menunaikan solat kemudian masuk waktu seterusnya, dia dikira mendapat keseluruhan solat yang ditunaikan jika dia sempat mengangkat takbiratul ihram walau belum sampai satu rakaat.

Walau bagaimanapun, pandangan daripada pihak Mufti Wilayah Persekutuan cenderung berpegang kepada pendapat jumhur – jika seseorang itu sempat melakukan satu rakaat solat sebelum masuk azan seterusnya, solat itu sah, dikira menunaikan solat di dalam waktu dan perlu diteruskan hingga selesai.

Sumber:
Muhammad Fahmi Rusli. (2017). Irsyad Al-Fatwa ke-182: Hukum melakukan sebahagian perbuatan solat pada luar waktunya. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.





Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami