Hukum

Dah Putus, Boleh Minta Semula Hadiah Atau Tidak?

Oleh Natirah Azira  •  3 Aug 2022  •  2 min baca

Adat dalam sesebuah perhubungan, hadiah akan diberikan untuk menunjukkan rasa kasih sayang atau penghargaan kepada pasangan tidak kira lelaki atau perempuan. Ada yang sanggup berhabis ratusan ringgit setiap bulan (mungkin sehingga angka ribu) untuk memikat dan memenangi hati pasangan – dibelikan jam, kasut, duit belanja dan bermacam-macam lagi.

Tetapi ada pula yang hubungannya separuh jalan sahaja – hati si dia tak dapat dimenangi, sudahnya segala pemberian sebelum ini terasa amat merugikan. Bukan sahaja masa habis, malah wang ringgit. Maka mulalah rasa sesal menyinggah, jika barang-barang tersebut tidak diberikan, pasti diri sudah punyai simpanan kewangan yang banyak.

“Rasa nak minta balik je semua barang, nak minta dia bayar balik semua wang yang dah aku habiskan”

Orang Melayu akan sebut tindakan ini sebagai ‘buruk siku’. Tetapi, dalam Islam, bolehkah sebenarnya untuk minta semula pemberian tersebut?

Hadiah boleh difahami sebagai pemindahan hak milik kepada orang yang mahu didekati dan dikasihi. Dalam Islam, hadiah dianggap sebagai hibah yang bermaksud satu akad pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian, ketika masih hidup dan dilakukan secara sukarela.

Hibah memerlukan tiga syarat iaitu:

  1. Pemberi dan penerima
  2. Sighah akad (ijab dan kabul)
  3. Barangan yang dihibahkan atau dihadiahkan

Bermakna, sesuatu pemberian hadiah itu dikira lengkap dan sempurna apabila ada pemberi dan penerima, adanya ucapan menandakan pemberian dan penerimaan dan wujud barangan yang diberikan.

Justeru, apabila hadiah itu telah diterima oleh si penerima, maka hadiah itu telah menjadi miliknya dan dia berhak berbuat apa sahaja dengan hadiah tersebut.

Islam juga tidak membenarkan si pemberi untuk meminta semula hadiah yang telah diberi kecuali dalam dua keadaan – seorang ayah meminta semula harta yang telah diberikan kepada anaknya dan seseorang yang melakukan hibah dengan syarat pertukaran dan bukan pemberian.

Larangan ini adalah bersumberkan hadis daripada Nabi Muhammad SAW:

العَائِدُ فِي هِبَتِهِ كَالعَائِدِ فِي قَيْئِهِ

Orang yang meminta semula hibahnya sama seperti orang yang memakan semula muntahnya”. [Riwayat al-Bukhari (2621)]

Islam menyarankan kita untuk sentiasa berpada-pada dalam setiap perbuatan. Tidak salah untuk memberikan hadiah kerana ia adalah sunnah yang digalakkan untuk merapatkan hubungan.

Tetapi nilai juga, adakah pemberian itu mengikut kemampuan kita? Adakah jika ada apa-apa yang tidak diingini berlaku kita akan reda dan merelakan pemberian yang telah diberi? Semoga Allah membantu kita mengikhlaskan hati untuk apa yang telah hilang dari kita dan menggantikan dengan rezeki yang lebih baik, InsyaAllah.

Sumber:
Muhd Farhan. (2020). Al-Kafi #1614: Hukum meminta semula hadiah. Pejabat Mufti Wilayah Persektuan.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami