Sejarah

Kenali Luqman Al-Hakim Yang Disebut Dalam Al-Quran

Oleh Natirah Azira  •  2 Aug 2022  •  3 min baca

Luqman Al-Hakim dikenali sebagai orang yang bijaksana. Namanya disebut-sebut sebagai orang yang memberikan nasihat-nasihat bernas kepada anaknya, dan ucapan itu dirakamkan dalam Al-Quran.

Siapakah Luqman Al-Hakim sebenarnya? Adakah dia seorang nabi atau hanya orang biasa?

Menurut Ibnu Jarir al-Tabari, Allah SWT telah memberikan Luqman pemahaman dalam agama, akal dan kebenaran dalam perkataan.

Lihat sahaja ucapan Luqman kepada anaknya tentang amalan manusia yang tidak akan terlepas daripada perhitungan Allah.

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): “Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat biji sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. (Surah Luqman, 31:16)

Latar Belakang Luqman

Menurut Ibn Kathir, nama penuh beliau ialah Luqman bin Anqa’ ibn Sadun. Dikatakan juga Luqman Ibn Tharan. Beliau adalah penduduk Aylah yang sekarang terletak di Jerusalem.

Ada beberapa pendapat yang bercerita tentang latar belakang. Berikut adalah pendapat ulama berkenaan latar belakang keturunannya.

Pendapat Muhammad bin Ishak

Beliau berkata bahawa nama Luqman ialah Luqman bin Ba’ura’ bin Nahur bin Tarih

Pendapat Al-Suhaili

Beliau berpendapat nama penuhnya ialah Luqman bin ‘Anqa’ bin Sarun dan berasal daripada Aylah.

Pendapat Imam Al-Zamakhsyari

Al-Zamakhsyari berkata, Luqman bin Ba’ura’ bin Ukhti Ayyub atau Ibn Khalatih. Beliau hidup 1000 tahun dan sempat bertemu dengan Nabi Daud serta mengambil ilmu daripadanya.

Pendapat Al-Waqidi

Al-Waqidi beliau adalah seorang qadhi daripada Bani Israel

Dalam riwayat yang lain seperti dalam Kitab Fath Al-Bari dan Tafsir At-Thabari, dengan sanad daripada Ibnu Abbas, ia berkata bahawa Luqman adalah seorang hamba dari Habsyah (Eithiopia).

Dalam Tafsir Thabari, diceritakan ada orang berkulit hitam yang datang kepada Sa’id bin Musayyib meminta-minta, kemudian Sa’id berkata, “Jangan kau sedih kerana kau berkulit hitam, kerana ada tiga orang terbaik yang berkulit hitam iaitu Bilal, Mahja’ maula Umar bin Khattab dan Luqman Al-Hakim. Dia orang hitam dari Nauba dan kedua bibirnya tebal”

Adakah Beliau Seorang Nabi

Jumhur ulama’ mengatakan bahawa beliau bukan nabi tetapi wali. Beliau hanyalah seorang hamba Allah yang soleh dan diberikan hikmah oleh Allah SWT.

Imam al-Nawawi berkata, “Para ulama berbeza pendapat berkenaan kenabian Luqman al-Hakim. Abu Ishaq al-Tsa’labi berkata, ‘Ulama bersepakat bahawa Luqman al-Hakim ialah orang bijaksana atau ahli hikmah dan bukan seorang nabi. Manakala Ikrimah pula berkata, bahawa Luqman ialah seorang nabi. Hanya beliau sahaja yang berpandangan dengan hal tersebut.” Lihat Syarh Sahih Muslim, oleh Imam al-Nawawi(2/503)

Pendapat Ikrimah dikira lemah dalam hal ini.

Sifat Luqman Al-Hakim

Dicatatkan oleh Ibnu Jarir, bahawa seorang lelaki pernah menegur Luqman dan bertanya bagaimana Luqman mencapai darjat kemulian sedangkan dahulu dia seorang penggembala kambing. Lalu Luqman menjawab:

“Takdir Allah, menunaikan amanah, berkata jujur dan tidak ikut campur terhadap apa yang bukan urusanku”

Dalam peristiwa lain apabila ditanya bagaimana beliau disukai dan dihormati orang ramai, Luqman memberitahu bahawa beliau selalu menundukkan pandangan matanya (dari hal-hal yang diharamkan), lisannya selalu dijaga, makanannya selalu bersih dan halal, kemaluannya dijaga (tidak melakukan zina), jujur dalam kata-kata, semua janji selalu ditepati, tetamu-tetamunya dimuliakan dan para tetangga pula dihormati, dan tidak melakukan hal-hal yang tidak perlu.

Demikian sifat-sifat yang ada pada seorang Luqman Al-Hakim, sehingga namanya dirakamkan sebagai salah satu surah dalam Al-Quran. Selamilah surah ini dan dalamilah makna yang ada pada setiap bait pesanan beliau.

Rujukan:
Muhammad Shahrulnizam Muhadi. (2018). Irsyad Al-Fatwa Siri Ke 246: Adakah Luqman Seorang Nabi. muftiwp.gov
Analisis Kisah Luqman Al-Hakim Dalam Al-Quran Menggunakan Hermeneutika Wilhelm Dilthey


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Natirah Azira

Beliau merupakan graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Al-Quran dan Sunnah. Pernah mendalami bidang Psikologi selama dua tahun dan sekarang sedang menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling di Universiti Sains Malaysia.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami