“Aku tak boleh lah tengok dia selalu dapat macam-macam”
“Benci betul tengok semua orang suka dia”
Anda pasti tahu apa maksud di sebalik ayat-ayat dia atas. Ya, cemburu atau dengki. Dalam istilah Arab ia disebutkan sebagai perasaan hasad. Mari kita fahami dahulu apa makna hasad.

Kata Ibnu Taimiyah rahimahullah;
“Hasad adalah membenci dan tidak suka terhadap keadaan baik yang ada pada orang yang dihasad.” (Majmu’ah Al-Fatawa, 10:111)
Syaikh Musthafa Al-‘Adawi menerangkan bahawa:
“Hasad adalah menginginkan hilangnya nikmat yang ada pada orang lain.” (At-Tashiil li Ta’wil At-Tanziil Juz ‘Amma fii Sual wa Jawab, m/s 720)
Melalui penerangan maksud di atas, maka kita dapat fahami bahawa perasaan hasad merangkumi dua perkara iaitu perasaan benci/tidak suka dan menginginkan nikmat yang ada pada orang lain hilang.
Pada zaman sekarang, cukup mudah untuk kita terjerumus ke dalam perangkap rasa hasad. Satu pihak suka menunjuk-nunjukkan semua benda yang diperoleh, manakala satu pihak lagi suka mengambil tahu perihal cerita dan hidup orang lain. Hati-hati kerana yang menunjuk mungkin dihinggapi rasa bangga diri, manakala yang melihat pula menyimpan rasa dengki kepada apa yang dipunyai.
Tidak dinafikan, ada yang rasa hasad dengki tanpa diminta. Seolah-olah perasaan itu datang tiba-tiba – mungkin kerana layanan dan pemberian yang diberikan tidak sama, lebih-lebih lagi jika melibatkan ahli keluarga. Hati benar-benar ingin membuang perasaan dengki tetapi tidak tahu cara.

Kadang-kadang, rasa hasad dengki semakin membesar kerana kita kerap mengulang-ulang dalam minda suatu peristiwa atau apa yang kita lihat. Memori yang diulang-ulang akan menjadi lebih kuat dan akan tersimpan lama. Dari satu pemikiran ia bercambah kepada pemikiran-pemikiran lain.
Selain itu, rasa hasad dengki juga boleh menjadi kuat jika kita tertumpu melihat hanya pada satu sudut pandang, tanpa kita sedar mungkin ada sebab-sebab lain yang membuatkan perkara itu terjadi.
Allah telah mengajarkan suatu doa yang indah daripada Al-Quran, yang berbunyi:
(Rabbanaghfirlanaa wali ikhwaanina, allaziina sabaquuna bil iimaan, walaa taj’al fii quluubinaa ghillal lillaziina aamanu, rabbanaa innaka rauufur rahiim.) (Surah Al-Hashr 59:10)
“Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu”.
Sesetengah daripada kita mungkin memilih untuk merenggangkan diri daripada orang yang tidak disukai kerana bimbang perasaan hasad dengki semakin membesar. Dalam waktu kita bersendiri, pujuklah hati untuk meyakini bahagian rezeki yang telah diperuntukkan oleh Allah buat diri kita dan orang lain. Tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang.
“Tak apa, itu bahagian rezekinya di dunia. Kita ada bahagian rezeki kita sendiri”.
Semoga kita terus kuat memerangi hasad dengki yang bersarang di hati.
Rujukan:
Muhammad Abduh Tuasikal. (2021). Cara Menghilangkan Hasad (Benci pada Nikmat Orang Lain) dari Diri Sendiri. Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.