Ulasan Buku, Wanita

Prof Dr Muhaya Mohamad, Tokoh Inspirasi Wanita

Oleh Fizah Lee  •  12 Jan 2021  •  3 min baca

Siapa yang tidak kenal dengan tokoh wanita yang cukup hebat dalam berkata-kata apatah lagi ketika menyampaikan motivasi untuk pendengarnya? Pasti jiwa-jiwa yang sedang mendengarnya bergetar dengan sentuhan ayat yang disampaikan.

Beliau adalah Prof Dr Muhaya Mohamad yang telah dianugerahi Anugerah Pendakwah Wanita kerana kehebatannya dalam memberikan motivasi dan juga berdakwah.

Beliau telah dilahirkan pada 1 Disember 1958 di Kuala Terengganu dan telah berkahwin serta dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan yang juga bergelar Doktor.

Beliau telah mendapat pendidikan dalam Ijazah Sarjana Muda Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1985. Seterusnya, beliau telah menyambung pendidikannya dalam Sarjana Surgeri Oftalmologi UKM dan PhD dalam bidang Ocular Immunology di Universiti London.

Kini, beliau merupakan salah seorang Profesor Oftalmologi AUCMS, Pakar Inspirasi dan Kolumnis Majalah, Pakar Perunding Mata dan Pengarah Pusat Lasik dan Mata, Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur.

Beliau merupakan salah seorang pakar mata pertama di Asia Tenggara yang menjalankan prosedur lasik dengan mesin Vismax Femtosecond.

Ia adalah antara kaedah paling moden yang telah dikenalkan dengan penghasilan flap cornea dengan VisuMax tanpa menggunakan pisau sepenuhnya.

Memotivasi Melalui Kata-Kata Dan Teladan

Selain daripada dikenali sebagai seorang pakar mata dengan berjaya membuka klinik matanya sendiri, beliau juga turut dikenali sebagai seorang pakar motivasi dan pendakwah yang bukan sahaja bijak dalam berkata-kata, namun juga mendakwah melalui teladan.

Keperibadian beliau telah dikenali sehingga beliau juga telah mendapat pengiktirafan sebagai ahli Fellow Royal College of Surgeons (RRCS) di Edinburgh sebagai wanita Islam pertama di Malaysia.

Beliau banyak muncul di program televisyen dan radio serta banyak membuat siaran langsung pada laman media sosialnya sendiri, iaitu Facebook.

Antara program TV yang pernah bekerjasama dengannya adalah Refleksi Bersama Datuk Dr Prof Muhaya Mohamad, Celik Hati Prof Dr Muhaya serta Tanyalah Ustaz.

Kini, beliau aktif bersiaran secara langsung pada setiap pagi di laman Facebooknya dalam program yang dinamakan 7am Club.

Banyak topik menarik yang dikupas merangkumi aspek inspirasi, doa, motivasi, taubat, ibadah dan pelbagai lagi.

Antara matlamat beliau yang sering dipergang adalah – “Menjadikan setiap insan hidup dalam kesedaran ketuhanan dan bukannya kesedaran keegoan. Menjadi insan yang bahagia serta dapat membahagiakan orang lain adalah satu anugerah yang tidak ternilai.”

Bagi penulis, beliau adalah antara tokoh wanita yang amat hebat, bukan sahaja dalam kepakarannya, namun juga dalam perbuatan serta motivasi yang layak untuk diteladani.

Satu perkara hebat yang penulis boleh simpulkan adalah beliau menyampaikan berdasarkan ilmu yang amat mendalam, namun penyampaiannya santai membuatkan ramai yang mudah mendapat manfaat darinya tanpa mengenal kategori umur.

Rujukan:
Biografi Inspirasi Prof Dr Muhaya (Sejernih Sinar Matamu) oleh Rozninah Abd Azib


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami