Hukum

Bolehkah Menyentuh Aplikasi Al-Quran Tanpa Wuduk

Oleh Fizah Lee  •  7 Jan 2021  •  2 min baca

Antara adab membaca Al-Quran adalah perlu dilakukan dalam keadaan suci. Sebahagian ulama menyebut bahawa perlu mengambil wuduk sebelum menyentuh mushaf Al-Quran tertutamanya jika ia bukan mushaf yang bercampur dengan tafsir.

Namun, sebahagian ulama menyebut bahawa haram hukumnya menyentuh mushaf Al-Quran tanpa wuduk kerana ia merupakan kitab suci yang perlu dijaga kemuliaannya.

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Mafhum: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.” (Surah Al-Waqiah, 56:79)

Manakala, Imam Nawawi menyebut, hukum membaca Al-Quran ketika dalam keadaan suci adalah sunat. Membaca Al-Quran ketika dalam keadaan berhadas bukanlah perkara yang makruh tetapi ia dianggap sebagai meninggalkan perkara yang afdal.

Sebagaimana dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Saidina Ali menyebut;

Maksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membacakan kepada kami Al-Quran dalam setiap keadaan melainkan dalam keadaan berjunub.” (HR Tirmizi, no. 146)

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan teknologi, semuanya mudah dan boleh diakses di hujung jari serta dalam satu gajet sahaja.

Manusia sudah boleh membawa Al-Quran ke mana-mana sahaja di dalam telefon bimbit berdasarkan aplikasi yang ada atau juga melalui internet.

Bagaimanapun, adakah dibolehkan untuk menatal telefon bimbit yang sedang memaparkan ayat Al-Quran tanpa wuduk?

Dalam hal ini, pandangan ulama menyebut bahawa dibolehkan untuk membaca ayat Al-Quran tanpa wuduk. Hukum asalnya adalah harus.

Hal ini kerana, aplikasi Al-Quran atau ayat Al-Quran yang berada dalam telefon bimbit tidak dihukum sebagai mushaf Al-Quran kerana ia hanya tulisan yang dipapar melalui skrin dan akan hilang apabila ditutup. Justeru, ia adalah tulisan yang tidak kekal, berbeza dengan mushaf Al-Quran yang hakiki.

Mushaf merupakan sesuatu yang ditulis di atasnya ayat Al-Quran. Syeikh Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Bantani menyebut:

Maksud: “Dan dimaksudkan dengan mushaf adalah setiap benda yang ditulis padanya sesuatu daripada Al-Quran dengan tujuan pembelajaran seperti kayu atau tiang atau dinding.” (Nihayah al-Zain, hlm. 32)

Kesimpulan

Justeru, dibolehkan untuk membaca Al-Quran daripada aplikasi di telefon bimbit atau melalui internet tanpa wuduk kerana ia tidak dikira sebagai mushaf Al-Quran.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
Muslim.or.id


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami