Rukun solat merupakan bacaan dan gerakan yang wajib dilakukan ketika menjalankan solat. Jika salah satu rukun solat tidak dilaksanakan dengan baik, maka solat tersebut boleh menjadi tidak sah.
Terdapat 13 jenis rukun dalam solat dan ia terbahagi kepada empat bahagian, iaitu rukun qauli, rukun fi’li (perbuatan), rukun qalbi (hati), iaitu niat dan rukun maknawi, iaitu tertib.
Rukun qauli ialah rukun dari segi bacaan dan rukun tersebut wajib dibaca oleh orang yang menunaikan solat yang sekurang-kurangnya bacaan tersebut didengari oleh telinga sendiri.
Imam Nawawi menyebut – “Bacaan yang paling minimum untuk rukun qauli adalah dibaca dengan senyap, iaitu bacaan tersebut boleh didengari untuk dirinya sendiri jika dia seorang yang boleh mendengarnya.” (Hasyiah Al-Bujairimi ‘ala Syarh Minhaj Al-Tullab, 1/189)
Dalam periwayatan lain, Imam Nawawi menambah lagi – “Bagi makmum, maka sunat untuk memperlahankan suara sama ada ketika solat sendiri ataupun berjemaah. Dan kadar minimum ialah suaranya boleh didengari oleh telinganya sendiri jika dia mempunyai pendengaran yang elok dan tiada halangan untuk menyebutnya.” (Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 3/392)
5 Rukun qauli yang disebutkan dalam Mazhab Syafi’e adalah:
#1 – Takbiratul ihram
#2 – Bacaan Surah Al-fatihah
#3 – Bacaan tasyahud akhir (Tahiyyat akhir)
#4 – Selawat ke atas Nabi Muhammad pada tasyahud akhir (bacaan selawat pada tahiyat akhir)
#5 – Memberi salam
Bacaan-bacaan inilah yang perlu dilafazkan dengan kata-kata dan tidak boleh menambah atau tersalah bacaan. Jika ia berlaku, bimbang rosaknya solat dan boleh membawa kepada batalnya solat.
Maksud: “(Dan wajib mendengar) yakni takbiratulihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang, contohnya bunyi bising (seperti seluruh qukun qauli) daripada al-Fatihah, Tasyahud akhir dan memberi salam.” (I’anah at-Talibin, 3/295)
Disebabkan itu kita sering mendengar bahawa, perkara asas yang perlu diajar sebelum menunaikan solat adalah dengan memperkemaskan bacaan terutamanya Al-Fatihah.
Ini adalah untuk menjaga sahnya solat tersebut.
Wallahu a’alam
Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.