Ibadah

Hadis – Siapakah Manusia Yang Paling Lemah

Oleh Fizah Lee  •  24 Dec 2020  •  2 min baca

Selalu kita dengar definisi orang yang lemah adalah orang tidak mampu melakukan pekerjaan yang berat. Namun, kali ini apa kata kita melihat definisi manusia yang lemah dari sudut ibadah.

Ada sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

أعجَزُ النَّاسِ من عجزَ عَنِ الدُّعاءِ ، و أبخَلُ النَّاسِ من بخِلَ بالسَّلامِ

Maksud: “Manusia yang paling lemah adalah orang yang paling malas berdoa (kepada Allah). Dan orang yang paling bakhil (kedekut) adalah orang yang bakhil dalam memberi salam.” (HR Imam Suyuthi, no. 1140)

Melalui hadis yang dinyatakan di atas, Baginda SAW menyebut bahawa orang yang paling malas adalah orang yang tidak mahu berdoa kepada Allah.

Sedangkan, berdoa itu mudah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Anda tidak perlu menunggu selepas selesai solat untuk berdoa, bahkan ia tidak terikat pada waktu.

Namun, amat rugi buat manusia yang mensia-siakan peluang untuk berdoa kepada Allah pada masa hayatnya.

Kerana melalui doalah, manusia akan dikurniakan kebaikan dan semakin dekat dengan rahmat Allah. Dan Alah jua yang memerintahkan manusia untuk berdoa kepadaNya melalui kalamNya yang bermaksud:

Mafhum: “Dan tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadah dan berdoa kepadaKu akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah Ghafir, 40:60)

Bukti Kelembutan Allah Kepada HambaNya

Syeikh As-Sa’di RA berkata, ia adalah bukti bahawa Allah itu Maha Lembut dan Penyayang kepada hamba-hambaNya dengan memberi peluang kepada kita untuk berbicara denganNya menerusi doa.

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنْ السُّوءِ مِثْلَهَا

Maksud: “Tidaklah seorang muslim yang berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan tidak untuk memutus tali kekeluargaan, kecuali Allah akan memberinya tiga kemungkinan; doanya akan segera dikabulkan atau ditunda sehingga ke hari akhirat atau akan dijauhkan dengan perkara buruk.” (HR Ahmad, no. 10709)

Justeru, jangan sia-siakan peluang untuk berdoa kepada Allah dan semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang lemah.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami