Tahukah anda mengenai kisah Nabi Yusuf? Baginda merupakan salah seorang nabi yang begitu banyak diuji bermula daripada permasalahan dalam kalangan ahli keluarganya sendiri sehinggalah kepada ujian wanita dan sekeliling.
Namun, kesabaran Baginda sangat tinggi. Benarlah firman Allah yang menyebut bahawa ujian itu hanya akan hadir dalam hidup seseorang apabila bahu dan hati mampu menggalasnya dengan baik.
Bukan daripada kisah Nabi Yusuf sahaja kita boleh belajar mengenai perihal ini, namun daripada kisah para nabi dan rasul yang lain juga menunjukkan bahawa ujian setiap orang berbeza dan mengikut kepada sejauh mana mereka boleh melaluinya.
Bagaimana kita yakin bahawa kita boleh melaluinya? Perkara pertama yang perlu disemat di hati adalah apabila kita menerima sesuatu masalah atau musibah, yakinlah bahawa Allah tahu kita mampu melaluinya.
Berbalik kepada kisah Nabi Yusuf yang sering ditimpa ujian bertalu-talu, perkara itu sebenarnya semakin mendekatkan baginda kepada Allah SWT.
Kita boleh lihat kisahnya sewaktu berada di dalam penjara, baginda sering berdoa kepada Allah meminta agar keimanannya sentiasa teguh.
Dengan kesusahan yang dialami itu membuatkan baginda rajin berdoa kepada Allah, bukan sahaja di waktu susah, bahkan juga apabila senang.
Pada akhir surah Yusuf, baginda berdoa:
Mafhum: “Sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh.” (Surah Yusuf, 12:101)
Berdoa itu bukan apabila kita ditimpa kesusahan sahaja, namun pada setiap waktu. Sama ada susah mahupun senang, berdoalah kepada Allah. Jadikan Dia sebagai tempat mengadu dan meluahkan segala isi hati.
Dengan ini, ia mungkin akan menjadi salah satu asbab untuk doa kita suatu hari nanti mudah dimakbulkan oleh Allah SWT.
Ada sebuah riwayat dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
Maksud: “Barangsiapa yang ingin doanya terkabul pada saat sedih dan susah, maka hendaklah memperbanyak berdoa pada saat lapang.” (HR Tirmizi, no. 385)
Justeru, jangan tunggu apabila dilanda ujian baru ingin mencari tuhan, namun carilah Dia pada setiap masa.
Wallahu a’alam
Rujukan:
Kajian Kisah Nabi Yusuf
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.