Zalim terbahagi kepada tiga bahagian; zalim kepada Allah, zalim kepada sekeliling dan zalim kepada diri sendiri.
Berbuat zalim digambarkan sebagai sebuah sifat yang negatif dan buruk yang boleh menyebabkan kesengsaraan orang lain.
Apabila manusia itu zalim kepada Allah, itu ertinya dia telah melanggar hak-hak yang perlu ditunaikan terhadap Allah. Manakala, apabila dia zalim kepada orang sekeliling, ia bermaksud seseorang itu juga telah melanggar hak-hak ke atas manusia lain dengan menyakitinya.
Bagaimana pula dengan mezalimi diri sendiri? Orang yang melakukan dosa, melanggar hukum syarak dan mendedahkan dirinya kepada kemurkaan dan azab Allah ialah orang yang zalim kepada diri sendiri.
Namun, tidak semua dari mereka yang berbuat zalim kepada diri sendiri sedar akan perkara tersebut.
Rata-rata cenderung akan menyedarinya hanya apabila kesannya dirasai. Sebagai contoh perbuatan meninggalkan solat. Pada awalnya tidak dirasakan kesannya. Namun, lama-kelamaan ia akan dirasai seperti tiada rasa tenang, hidup yang serabut dan sebagainya. Inilah akibat daripada perbuatan menzalimi diri sendiri.
Kezaliman merupakan satu bentuk dosa besar dan ia perlu dielakkan kerana bukan sahaja boleh memberi kesan kepada diri sendiri bahkan juga orang sekeliling.
Mungkin ada kalanya kita tidak mampu melawan kezaliman luaran yang berlaku, namun kita mempunyai ‘kuasa’ untuk menjauhi diri daripada kezaliman dalaman.
Lawan kepada zalim adalah bersikap adil. Jadi, adillah kepada diri sendiri dengan menyempurnakan hak-hak yang perlu ada seperti hak fizikal dan juga rohani.
Belajar untuk sayangi diri sendiri dan jaga hati daripada perkara-perkara yang mungkar. Ia merupakan perkara utama untuk mengelakkan diri daripada berbuat zalim kepada diri sendiri.
Apabila dalaman dan perasaan diri dijaga serta mampu dikawal dengan baik, maka ia seterusnya boleh memberi kesan kepada luaran juga.
Dari ‘Abdullah bin ‘Amr ibnu ‘Ash RA berkata, Abu Bakar RA pernah berkata kepada Nabi SAW:
Maksud: “Wahai Rasulullah, ajarilah aku sebuah doa yang boleh aku panjatkan dalam solat aku.” Baginda menjawab: “Bacalah doa ini – Ya Allah, sesungguhnya aku telah banyak menzalimi diri sendiri dan tidak ada yang mampu mengampuni dosa melainkan Engkau, maka berilah ampunan kepadaku dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (HR Bukhari, no. 6839)
Wallahu a’alam
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.