Oleh Asyraff Hafdzan • 19 Dec 2020 • 6 min baca
Tatkala dunia diserang wabak Covid-19 pada November 2019 lalu, musim umrah di Tanah Suci baru sahaja melepasi waktu puncaknya pada musim cuti sekolah.
Industri umrah ketika itu sedang bersedia untuk menerima lebih banyak jemaah, sementara ada beberapa cuti umum yang panjang pada awal suku pertama tahun ini. Antaranya cuti perayaan Tahun Baru Cina dan cuti sekolah semester pertama.
Namun, secara tiba-tiba Arab Saudi menutup pintu sempadan pada 27 Februari 2020. Keputusan yang diambil itu mengejutkan semua pihak dan menimbulkan keresahan bukan sahaja dalam kalangan pengusaha syarikat agensi umrah, malah juga kalangan jemaah yang sepatutnya sudah terbang melaksanakan umrah waktu itu.
Berapa banyak penerbangan terpaksa dibatalkan, berapa banyak pula jemaah terpaksa membayar dam (denda) akibat tidak dapat menunaikan umrah dan berpatah balik ke tanah air.
Ditambah juga dengan syarikat yang kerugian berpuluh ribu malah berjuta ringgit kerana semua perbelanjaan umrah sudah pun ditempah dan dibayar kepada muassasah (organisasi) di Saudi?
Masa berlalu begitu pantas. Pintu sempadan pula masih belum dibuka. Namun, sebenarnya tindakan mengejutkan Arab Saudi itu tepat pada masanya apabila selepas itu, kita menyaksikan peningkatan kes wabak begitu tinggi sama ada di Arab Saudi sendiri mahupun di Malaysia.
Malaysia yang turut mengambil langkah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac telah menutup sepenuhnya pintu sempadan negara.
Ini menjadikan industri umrah lumpuh sama sekali dan kerugian yang dicatatkan oleh syarikat umrah tempatan mencatatkan tidak kurang daripada 300 juta ringgit kerana ia melibatkan penangguhan umrah sehingga 50,000 jemaah.
Bukan industri umrah sahaja yang diambil tindakan, namun pelaksanaan haji tahun ini juga turut ditangguh. Syarikat yang mengendalikan jemaah haji swasta (PJH) turut menanggung kerugian sekitar 200 juta kerana Malaysia mengambil pendirian menangguhkan haji tahun ini untuk mengutamakan kesihatan para jemaah.
Sejak itu, satu persatu syarikat umrah mula ditutup. Bukan syarikat kecil sahaja yang terkesan akibat Covid-19, malah kebanyakan syarikat besar turut dibadai tsunami teruk dalam bisnes.
Masing-masing cuba bertahan sambil terus kekal relevan sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.
Allahu akbar. Inilah ujian terbesar yang pernah dihadapi oleh industri umrah dan haji sejak 100 tahun dulu.
Tahukah anda, sebelum wujudnya industri umrah dan haji, umat Islam tetap pergi ke Makkah melaksanakan haji dan umrah sejak zaman berzaman lagi.
Namun, bermula akhir 1970-an, kerajaan Arab Saudi mula mengambil inisiatif memperkenalkan pelancongan Islamik yang lebih sistematik.
Dekad demi dekad menyaksikan sistem pengendalian umrah serta fasiliti umrah dan haji yang sentiasa ditambah baik dan diperluas sehingga mampu menampung 2 juta umat Islam dalam satu masa.
Kini, umrah dan haji menjadi industri billion dolar. Kemudahan pengangkutan semakin mudah dan murah, malah umat Islam semakin ramai yang berkemampuan.
Justeru, tidak hairan jika industri ini mampu menjana jutaan dolar setiap hari.
Namun, semua angka itu ranap dengan sekali hembus, bak hembusan bersin. Covid-19 yang muncul telah meruntuhkan sistem yang pernah dibina berdekad.
Semua pengusaha industri terduduk dan hilang punca sebentar. Kita melihat berapa banyak pekerja industri dibuang, hotel yang disahkan muflis, punca pendapatan tersekat dan semua yang terlibat dalam industri ini hangus dimakan virus yang tidak boleh dilihat ini.
Semua orang yang terlibat dalam industri ini telah merasai kesannya. Dari pengusaha syarikat pelancongan, syarikat penerbangan, peniaga di Tanah Suci, usahawan kelengkapan haji dan umrah sehinggalah ke petugas seperti mutawwif dan pemandu bas.
Industri mengalami proses tapisannya buat ke sekian kalinya.
Mari kita wukuf (berhenti) sejenak. Mengambil ibrah wukuf saban tahun di Arafah, umat Islam mengiktiraf dan mengakui salah silap mereka sepanjang hidup.
Kalimah Arafa sendiri membawa maksud mengakui atau mengiktiraf semua dosa dan salah selama ini.
Ya, barangkali, dalam kita menyantuni tetamu Allah dan dalam kita melayani bumi suci itu, ada salah silap yang kita pernah lakukan. Barangkali dalam menjejak kaki di sana, ada dosa tanpa sengaja dilakukan.
Tiap-tiap manusia melakukan kesalahan, namun manusia yang terbaik adalah yang sentiasa memohon keampunan Allah.
Kita perlu akui bahawa ada dosa-dosa yang mungkin pernah dilakukan sama ada secara kita sedar ataupun tidak.
Bagi jemaah haji dan umrah sendiri, kita hadir ke Tanah Suci dengan niat pelbagai, bukan semata-mata kerana Allah.
Ada yang datang melancong, lalu hadir menunjuk dengan kekayaannya, bukan insaf dengan kekayaan Allah. Ada yang datang mengemis, lalu sanggup menjual agamanya kerana harta. Ada yang datang menunjuk ilmu dan kehebatan pangkatnya, bukan kagum terpesona dengan kekuasaan Allah.
Bagi jemaah yang suka membeli-belah pula, niat asal beribadah kadang-kadang melencong untuk sibuk membeli-belah, berbanding sibuk beribadah. Itulah yang membuatkan mereka mendapat jolokan “Haji Kedai” atau “Tawaf Kedai”.
Ada pula yang fokusnya hanya bisnes, malah bisnesnya dianggap lebih penting berbanding ibadah. Ada pula yang hilang keseronokan melaksana ibadah, lantaran sudah kerap kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
Bagi penyantun (pengurus) jemaah pula, mereka turut tidak terlepas daripada bebanan dosa ini. Banyak yang sanggup menipu bakal jemaah melalui pakej umrah palsu, sanggup menipu badal haji, upah aqiqah dan kurban.
Banyak pula yang terpesona dengan keuntungan dunia daripada untung membawa jemaah umrah dan haji sehingga sanggup menafikan etika dan adab di Tanah Suci.
Ada pula yang menjanjikan bulan dan bintang kepada jemaah. Realitinya, hanya enak didengar di telinga, namun perit ditelan hati dan mata. Ada juga yang ‘memeras’ jemaah dengan kos itu dan ini, namun sebenarnya ia tidak sebagaimana yang dimaklumkan.
Pokoknya, ramai umat Islam hilang ikhlas dalam melaksanakan haji umrah dan menyantuni para tetamu Allah. Astaghfirullahal azim. Moga-moga Allah ampunkan diri kita semua.
Hadirnya Covid-19 ini memberi peluang kepada kita untuk mengintrospeksi semula diri kita. Suluh kembali dalam diri, bisnes, mahupun khidmat yang kita lakukan selama ini, benarkah kita benar-benar ikhlas kerana Allah?
Atau mungkin kita terlalai dengan perkara lain selain Allah? Sedangkan dalam lafaz talbiah (seruan haji) yang kita laungkan sebaik sahaja berihram ada menyebut mengenai 4 syarat diterima ibadah.
#1 – Kita mesti mengakui Allah sahaja Tuhan yang layak diibadah dan menjadi fokus ibadah. Bukan disertakan niat lain.
#2 – Kita mesti mengakui bahawa seluruh pujian, syukur dan terima kasih kita hanya layak diberikan kepada Allah.
#3 – Kita mesti mengakui bahawa semua nikmat yang kita perolehi selama ini, nikmat bisnes, nikmat berkunjung ke Tanah Suci dan lain-lain, semuanya adalah asbab pemberian Allah kepada kita. Bukan yang lain.
#4 – Kita mesti mengakui bahawa seluruh kekuasaan dan pangkat, kehebatan dan keagungan hanyalah milik Allah. Kita makhluk yang daif (lemah), tidak punya apa-apa berbanding milik Allah.
Dengan menginsafi dan menyesali dosa-dosa yang pernah dilakukan, kita sangat mengharapkan keampunan dari Allah. Kita juga sangat berharap semoga Allah memberikan kurniaNya lagi kepada kita untuk hadir bertamu ke Tanah Suci. Allahumma Amin.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.