Beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana begitu banyak kelebihan yang diberikan kepada kita sehingga ke hari akhirat.
Kita adalah umat yang diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat walaupun telah berkali-kali melakukan kesilapan dan dosa.
Berbeza dengan umat terdahulu; contohnya kaum Nabi Luth yang diazab oleh Allah kerana berkali-kali mengingkari teguran dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Luth.
Manusia hari ini melakukan pelbagai dosa tetapi Allah tidak terus mengazab dengan azab yang berat sebaliknya Allah memberi peluang kepada kita untuk bertaubat.
Itulah kelebihan yang ada pada umat Nabi Muhammad. Kita juga adalah umat terakhir yang berada di atas muka bumi ini, tiada nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW, namun kita diganjarkan untuk memasuki syurga dengan lebih awal.
Berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda:
Maksud: “Kita adalah umat terakhir (yang lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari Jumaat ialah hari yang telah difardukan ke atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya. Lalu, Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” (HR Bukhari, no. 836)
Ulama menyebut bahawa kita adalah umat yang akan memasuki syurga terlebih dahulu sebelum semua umat yang lain.
Imam Hasan Al-Basri juga menyebut bahawa golongan yang beriman dari umat Nabi Muhammad adalah yang utama akan memasuki syurga diikuti dengan umat lain.
Mengapa ingin memasuki terlebih dahulu? Kita tidak mengetahui bagaimana keadaan manusia di akhirat kelak ditambah dengan panas dan ujiannya waktu itu. Buat mereka yang dikurniakan ganjaran syurga, pastinya mereka akan terlepas dari ujian itu dan akan menikmati nikmat yang tiada tandingnya.
Jadi, semasa berada di dunia ini, ambillah peluang untuk beribadah dan melakukan amal sebagai bekalan kita kelak.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.