Gaya Hidup

Antara Sedekah Dan Menyimpan Wang, Mana Lebih Utama

Oleh Fizah Lee  •  23 Nov 2020  •  3 min baca

Sedekah merupakan salah satu bentuk tabungan yang kita laburkan ke dalam simpanan masa depan kita.

Masa depan bagaimana yang dimaksudkan? Ia adalah masa depan akhirat kelak. Mengapa? Kerana, setiap harta yang disedekahkan akan menjadi pahala untuk kita dan saham akhirat.

Inilah yang dimaksudkan dengan tabungan jangka panjang. Sama juga dengan hasil tabungan yang kita simpan sekarang sama ada untuk kecemasan, tabung kahwin, tabung haji dan sebagainya, ia adalah untuk digunakan pada masa-masa yang diperlukan bagi membantu menjalani kehidupan di dunia.

Namun, antara sedekah dan menabung, mana yang perlu diberi keutamaan? Terutamanya dalam masa kita diuji pandemik COVID-19 ini, pasti tabungan kecemasan perlu diberi perhatian khusus bagi menjadikan kita bersedia untuk perkara-perkara yang tidak dijangka akan berlaku.

Hari ini kita melihat ada yang diuji dengan dibuang kerja, direhatkan tanpa gaji dan pelbagai lagi ujian yang melanda menyebabkan perasaan paranoid itu muncul. Jadi, simpanan dan wang kecemasan amat penting untuk menjadikan kita lebih bersedia agar kelak, kita tidak akan mudah untuk meminta-minta.

Tetapi apabila melihat kepada keadaan ramai yang ditimpa ujian tersebut, pasti perasaan empati menempa diri kita. Tetapi, kadang-kadang, kita sendiri pun cukup-cukup makan sahaja, namun, niat di hati ingin membantu. Jadi, mana yang lebih utama?

Antara Sedekah Dan Diri Sendiri

Dalam beramal, kita tidak boleh beramal secara seweang-wenangnya kerana perkara utama yang perlu kita tahu adalah peringkat keutamaan amalan sendiri.

‘Jika diri sendiri tidak mampu, bagaimana untuk menjaga orang lain?’

Perumpamaan ini mungkin seringkali didengari di telinga-telinga anda bahawa perkara utama yang perlu dititikberatkan adalah dengan menjaga diri sendiri, kemudian ahli keluarga serta orang sekeliling.

Kita boleh membantu sebanyak mana yang kita mahukan, namun tidak boleh sehingga mengabaikan diri sendiri. Sebab itulah wujudnya istilah, bantulah sekadar mampu.

وَلَا تَجْعَلْ يَدَكَ مَغْلُولَةً إِلَىٰ عُنُقِكَ وَلَا تَبْسُطْهَا كُلَّ الْبَسْطِ فَتَقْعُدَ مَلُومًا مَّحْسُورًا

Mafhum: “Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan.” (Surah Al-Isra’, 17:29)

Firman Allah yang dibawakan di atas mengandungi perintah untuk kita hidup dalam keadaan cermat dan larangan daripada mempunyai sikap berlebihan dalam membelanjakan harta.

Sedangkan, Baginda SAW juga pernah menasihati Umar Al-Khattab yang bersedekah agar meninggalkan sedikit hartanya untuk keperluan ahli keluarganya. (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)

Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa sedekah itu adalah suatu perbuatan yang penting, namun keutamaan adalah dengan tidak mengabaikan diri sendiri agar lebih banyak manfaat yang boleh diberikan kepada orang lain.

Kesimpulan

Dalam hal ini, sedekah itu perlu dilakukan berdasarkan kemampuan diri. Bimbang jika anda mencuba untuk bersedekah melebihi apa yang termampu, keikhlasan itu boleh hilang kerana minda terfikir akan perkara tersebut.

Menyimpan juga adalah perlu untuk keperluan akan datang bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Ini bukanlah bermaksud anda tidak percaya akan takdir Allah, namun ia adalah salah satu bentuk tawakkal yang kita letakkan selepas berusaha.

Kerana tawakkal itu tidak datang dengan tangan yang kosong, sebaliknya selepas usaha dan doa yang diletakkan.

Wallahu a’alam

Baca Juga:
Bayar Hutang Dulu Baru Sedekah
Ustaz Dr. Syafiq Riza Bassalamah


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami