Oleh Fizah Lee • 19 Nov 2020 • 2 min baca
Pada permulaan video yang anda tonton, biasanya anda akan disapa dengan ungkapan salam.
Sama ada video itu daripada laman Instagram, Youtube mahupun di siaran-siaran televisyen, jika penyampainya dari kalangan umat Islam, pasti mereka akan memberikan salam.
Menjadi persoalan di sini ialah, adakah anda perlu menjawab salam tersebut? Bagaimana pula jika video itu diulang dengan banyak kali. Adakah anda perlu menjawab salam tersebut banyak kali?
Dalam hal ini, pertama sekali kita perlu faham bahawa hukum menjawab salam yang diberikan adalah wajib, sama ada dalam bentuk lisan mahupun bertulis.
Namun, apabila ia diucapkan dalam bentuk siaran, ada dua keadaan yang perlu dititikberatkan;
#1 – Jika ia dalam bentuk siaran langsung, maka hukum menjawab salam adalah wajib, sama seperti ketika anda bersemuka dengannya.
#2 – Namun, jika siaran itu dalam bentuk rakaman (bukan siaran langsung), sama ada melalui radio, platform media sosial mahupun televisyen, maka kewajipannya gugur.
Melalui fatwa Islam yang menyebut:
Maksud: “Jika siarannya langsung, disyariatkan menjawab salam berdasarkan keumuman dalil yang menunjukkan wajibnya menjawab salam kepada setiap muslim. Hanya sahaja, statusnya wajib kifayah, jika sudah ada sebahagian yang mengamalkan, yang lain menjadi gugur. Jika yang disiarkan adalah rakaman, tidak wajib menjawab salamnya.” (Fatwa Islam, no. 128737)
Justeru, jika anda melihat rakaman video itu berulang kali, maka tidak wajib ke atas anda untuk menjawab salam itu.
Memadai untuk menjawab salam itu sekali sahaja. Ia adalah salah satu daripada syiar agama Allah yang diucapkan sebagai bentuk doa kepada pendengar. Justeru, tiada masalah untuk menjawabnya banyak kali atau hanya sekali sahaja kerana ia bukan salam yang diucapkan secara langsung.
Sumber:
Hukum Menjawab Salam Di Radio
Konsultasi Syariah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.