Ada sebuah kisah dalam periwayatan Muaz bin Jabal yang menceritakan mengenai adab-adab berdoa yang telah disampaikan oleh Rasulullah SAW.
Maksud: “Pada suatu hari, Muaz mendengar bahawa Baginda telah lalu di sisi seorang lelaki yang sedang berdoa dan permohonannya berbunyi begini:
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu akan taufik (kekuatan) untuk bersabar.”
Lalu, Baginda SAW bersabda: “Kamu sedang meminta bala musibah daripada Allah. (Sabar akan diberi setelah datangnya musibah). Jadi, pohonlah afiyat dan kesejahteraan daripadaNya.” (Hadis Riwayat Tirmizi, no. 3527)
Ulama berpendapat bahawa, hadis ini mengajarkan kepada kita untuk sentiasa meminta ‘afiyah dari Allah sebelum meminta diberi kesabaran.
‘Afiyah yang bagaimana yang dimaksudkan? Ia adalah salah satu bentuk keselamatan atau kesejahteraan kepada badan dan hati daripada segala penyakit dan juga kesejahteraan agama daripada segala fitnah.
Sebagaimana yang dimaksudkan oleh Imam Nawawi – “Ia adalah lafaz yang umum dan terkandung di dalamnya menolak segala perkara yang tidak baik pada badan dan batin pada agama sama ada di dunia dan juga di akhirat.” (Manhaj Syarah Sahih Muslim, 46/12)
Hal ini bukanlah bermaksud tidak dibolehkan berdoa meminta kesabaran, namun ada waktu yang lebih tepat untuk mengujarkannya, iaitu apabila ditimpa musibah atau dilanda kesakitan.
Jika sudah berada dalam situasi ini, maka dibolehkan untuk meminta kepada Allah agar diberi kesabaran dalam menghadapi ujian yang melanda.
Mutharrif ibn Abdillah berkata: “Aku sihat dan kemudian bersyukur itu lebih aku sukai berbanding aku diberi cubaan dan kemudian bersabar. Sebab, orang sihat itu lebih dekat pada keselamatan. Kerana itu pula aku lebih memilih bersyukur daripada bersabar kerana bersabar adalah keadaan orang yang diberi cubaan.”
Kesihatan itu adalah sebagai salah satu nikmat yang membuka kepada pintu keselamatan. Keselamatan apa yang dimaksudkan? Ia adalah keselamatan jiwa.
Hal ini kerana, apabila kita sihat dan tidak dirudung dengan permasalahan sama ada kesakitan mahupun kesusahan, hati dan jiwa kita lebih mudah tenang dan dekat dengan Allah.
Ini bukanlah bermaksud orang yang diberi kesakitan atau kepayahan itu sukar untuk mengingati Allah kerana setiap ujian yang diberikan, salah satu asbabnya adalah untuk menjadikan kita semakin ingat kepadaNya.
Namun, kadang-kadang, dengan kepayahan yang ada membuatkan kita mudah merasa gelisah dan timbulnya perasaan bimbang. Inilah yang dimaksudkan dengan tidak mendapatkan keselamatan hati.
Mintalah kepada Allah agar diberi kesejahteraan dan kesalamatan untuk mengharungi kehidupan ini. Tetapi apabila anda sedang dilanda musibah atau kepayahan hidup, mintalah supaya Allah memberikan anda kekuatan hati dan kesabaran dalam menghadapinya.
Wallahu a’alam
Sumber:
Buku Jaddid Hayatak: Perbaharui Hidupmu
Ustaz Ahmad Al-Qarni bin Edrus
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.