Eksklusif, Tokoh

#53 – Anas Bin Malik Yang Didoakan Rasulullah SAW

Oleh Saodah Lasim  •  15 Nov 2020  •  3 min baca

Anas bin Malik telah dilantik menjadi gabenor Bahrain ketika usianya baru mencecah 20 tahun. Orang yang melantiknya ialah Khulafa Al-Rasyidin yang pertama iaitu Khalifah Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pula, beliau telah melantik Anas bin Malik sebagai gabenor di Bahrain.

Sebagai orang yang memegang jawatan gabenor dalam dua zaman pemerintahan, Anas bin Malik memegang amanahnya dengan penuh tanggungjawab. Beliau sentiasa menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utamanya dalam setia prkara dan urusan hariannya.

Beliau merupakan seorang yang zuhud dan selalu berusaha membantu meringankan beban penderitaan orang lain dengan harta serta kemampuan yang dimilikinya.

Jadi, untuk entri kali ini, penulis tertarik untuk menceritakan mengenai peribadi unggul ini agar kita sama-sama dapat mengambil inspirasi darinya.

Diceritakan bahawa selepas peristiwa hijrah, Rasulullah SAW telah menetap di Madinah. Ummu Sulaim telah datang menghadap Baginda dengan membawa anak lelakinya yang berumur 10 tahun.

Wanita itu berkata: “Wahai utusan Allah, aku melihat seluruh penduduk Madinah sama ada lelaki atau perempuan berlumba-lumba memberikan harta terbaik mereka kepadamu untuk perjuangan Islam.

Sedangkan aku hanyalah wanita sederhana, tidak ada harta yang berharga untuk dihadiahkan kepadamu selain anak lelaki kesayanganku, Anas. Kini aku serahkan buah hatiku ini kepadamu sebagai pembantumu.”

Baginda terharu dengan keikhlasan Ummu Sulaim, lantas Baginda mengusap kepala Anas. Rasulullah SAW menerima pemberian Ummu Sulaim dengan senang hati dan menganggap Anas adalah anaknya sendiri.

Sebelum berlalu pergi, Ummu Sulaim meminta Rasulullah SAW untuk mendoakan anaknya. Lalu Baginda berdoa:

“Ya Allah, perbanyakkan harta dan anaknya, panjangkanlah usianya, ampunkanlah dosanya dan masukkanlah dia ke dalam syurga.” (Hadis Riwayat Muslim)

Anas bin Malik tinggal bersama Rasulullah SAW selama 20 tahun. Beliau tidak pernah berpisah dengan Rasulullah sehinggalah Baginda wafat.

Anas bin Malik amat cinta dan hormat kepada Rasulullah SAW sehingga menjadikan Baginda sebagai idolanya.

Beliau amat menghargai peluang yang diperoleh dalam hidupnya itu dengan menerapkan ajaran al-Quran dan sunnah dalam kehidupannya.

Sebagai orang yang mendampingi Rasulullah SAW secara terus dan telah mendampingi Baginda dalam pelbagai keadaan; suka, duka, lapang, sempit, Anas amat memahami karakter Rasulullah SAW. Beliau berkata:

“Baginda tidak pernah mengherdik, memukul, bermasam muka atau memaksa aku melakukan perintahnya. Aku dapat melihat dan merasai kasih sayang Rasulullah SAW, kelembutan sikapnya, keluhuran budi pekertinya dan aku berusaha meneladaninya.” (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Begitulah kelebihan yang Allah SWT berikan kepada seorang wanita yang bernama Ummu Sulaim. Niatnya menyerahkan anaknya kepada Rasulullah SAW untuk perjuangan Islam dibalas dengan budi pekerti baik anaknya. Malah Rasulullah SAW turut mendoakan rezeki dari segi keturunan, harta benda dan umur panjang untuk Anas bin Malik.

Kesimpulan

Walaupun kita di zaman ini amat jauh untuk mengenali Rasulullah SAW secara berdepan, namun usah bersedih. Baginda amat menyayangi kita, dan telah meninggalkan wasiat yang terpelihara di sepanjang zaman, ikutilah al-Quran dan sunnah untuk mendapat reda Allah SWT.

Berkenaan para sahabat, ambillah mereka untuk menjadi contoh dalam kehidupan. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Janganlah kamu mencela seorang pun antara sahabatku kerana seandainya salah seorang daripada kamu dapat memberi infak emas sebesar Gunung Uhud, maka itu tidak akan dapat menyaingi infak salah seorang sahabat yang hanya sebesar genggaman tangan atau bahkan setengahnya (setengah genggaman tangan).” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 3673)

Rujukan:
Kisah Anas bin Malik
Kisah Sahabat Rasulullah SAW Usia Lanjut oleh Misbah Em Majidy, Terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd.


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Saodah Lasim

Bermula dengan menulis novel kanak-kanak dan novel bercorak thriller, kini Saodah adalah seorang editor bebas, penulis dan juga penulis upahan (ghostwriter). Telah mengedit buku-buku daripada pelbagai genre antaranya novel am, novel kanak-kanak, biografi, motivasi, panduan, sejarah, keagamaan dan kisah hidup. Juga merupakan seorang penyelaras penerbitan dan telah membantu menerbitkan beberapa buah buku untuk penulis swaterbit.

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami