Tokoh

Kisah Khalifah Harun Al-Rashid Ditegur Oleh Ahli Ibadah

Oleh Fizah Lee  •  12 Nov 2020  •  3 min baca

Ada sebuah kisah yang masyhur dan sering disebut mengenai seorang lelaki (dari kalangan ahli ibadah) yang menegur kepimpinan Khalifah Harun Al-Rashid semasa zaman pemerintahannya.

Teguran itu dilakukan secara kasar sehinggakan Khalifah Harun bertanya kepadanya mengapa ia dilakukan demikian.

Kisah ini diceritakan berlaku daripada seorang nussak (ahli ibadah) yang membantah dan menegur Khalifah Harun Al-Rashid dengan teguran supaya bertakwa kepada Allah.

Namun, lelaki tersebut menggunakan bahasa yang sangat kasar serta gayanya yang tidak berhemah menyebabkan telinga yang mendengarnya kurang senang dengan perkara tersebut.

Lalu, Khalifah Harun Al-Rashid berkata – “Wahai si fulan, bersederhanalah kamu dalam berbicara dan meminta kepadaku.”

Lalu, lelaki tersebut berkata – “Yang demikian itu adalah serendah-rendah cara yang wajib kepada kamu.”

Maka, Khalifah itu bertanya lagi – “Adakah aku ini jahat dan lebih keji berbanding Firaun.”

Lelaki itu berkata – “Bahkan Firaun itu lebih keji dan jahat kerana dia berkata: “Aku adalah tuhan kamu yang maha tinggi.”

Lalu, Khalifah itu bertanya lagi – “Kamu benar. Beritahulah kepadaku, siapa di antara kamu dan Musa bin ‘Imran yang lebih baik?”

Kemudian, lelaki itu menjawab – “Musa bin ‘Imran merupakan kalimullah. Allah menciptakannya untuk diriNya dan memilihnya untuk diberikan wahyuNya.”

Lalu, Khalifah Al-Rashid berkata – “Kamu benar. Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah SWT apabila mengutuskan Musa dan saudaranya (Harun) kepada Firaun. Dia berkata kepada keduanya: “Maka, hendaklah kamu berdua berkata kepadanya dengan ucapan yang lemah lembut, mudah-mudahan dia mengambil peringatan atau berasa takut.”

Khalifah menyambung lagi – “(Arahan untuk berkata dengan lemah lembut) ini dalam keadaan kesombongan dan kebongkakan diri Firaun itu sebagaimana yang kamu ketahui. Sedangkan aku berada dalam keadaan yang kamu sendiri ketahui, aku melaksanakan kebanyakan perkara yang Allah fardukan ke atas diriku dan aku tidak mengabdikan diri kepada selainNya. Aku juga berhenti pada sebesar-besar hududNya (tidak melanggar batasan Allah), mengikut perintahNya dan meninggalkan laranganNya.

Pun begitu, kamu menegur aku dengan lafaz yang paling keras, kasar serta cara yang paling buruk. Maka, tidakkah dengan adab Allah kamu sepatutnya beradab? Tidakkah dengan akhlak para solihin kamu patut mengambilnya sebagai ikutan?”

Maka, lelaki itu pun berkata – “Aku telah tersalah wahai Amirul Mukminin dan aku memohon maaf kepadamu.”

Khalifah itu menjawab – “Semoga Allah mengampuni kamu.” (Tarikh at-Tabari, Ibn Jarir (8/358)

Kesimpulan

Ulama menyimpulkan bahawa ia adalah bukti bahawa dakwah itu perlu dilakukan dengan cara yang terbaik, sesuai kepada siapa yang ingin disampaikan.

Jangan memulakan dakwah dengan mencela dan memakai tanpa bertanya terlebih dahulu, sebaliknya dakwahlah dengan cara yang berhemah.

Walaupun anda adalah seorang rakyat, anda boleh menegur pemimpin, tetapi teguran itu perlu dilakukan dengan baik.

Namun, itu tidaklah bererti teguran itu boleh sentiasa dilakukan dengan cara yang sama; apabila melihat tiada kesan, upgrade teguran anda itu kepada langkah seterusnya atau dalam bentuk yang boleh sampai kepada seseorang itu.

Wallahu a’alam

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsikan Artikel Ini

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.

Fizah Lee

Merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Bahasa Melayu untuk Komunikasi Antarabangsa. Seorang yang suka membaca bahan bacaan dalam bidang sejarah dan motivasi

Kempen Dakwah Digital

Boleh Sumbangkan RM50 Untuk Dakwah?

Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.

Langgan Siri Tazkirah

Dapatkan siri informasi islamik yang ringan dan santai terus kepada emel anda setiap minggu dengan mengisi emel anda di bawah.

Ikuti Kami