Oleh Fizah Lee • 14 Oct 2020 • 2 min baca
Mengapa kita marah? Sebab ia adalah salah satu perasaan fitrah yang wujud dalam diri setiap manusia.
Setiap dari kita ada perasaan yang lahir dari dalam diri untuk melengkapi kehidupan kita semua. Ada perasaan gembira, sedih, marah dan kecewa.
Bayangkan kalau manusia hanya ada satu perasaan, bagaimana kehidupan manusia itu akan berkembang? Tiada orang yang akan marah jika ada yang melanggar undang-undang atau tiada orang akan sedih jika adanya kematian.
Seperti perumpamaan hidup ini yang hanya dihiasi dengan satu warna. Bagaimana dunia ini akan dicorakkan dengan penuh warna-warni?
Sebab itulah kita pun ada perasaan marah. Marah jika ada berlaku ketidakpuasan hati atau marah disebabkan kecewa dengan seseorang dan sebagainya.
Walaupun perasaan ini adalah sifat semula jadi manusia, kita juga dituntut untuk mengawalnya. Perasaan itu lahir dari diri kita sendiri, jadi hanya kita sendiri yang boleh mengawalnya.
Salah satu cara untuk mengawal marah adalah dengan membaca ta’awudz. Ia adalah salah satu bentuk doa untuk meminta perlindungan Allah daripada godaan syaitan.
Sebagaimana firman Allah dalam kalamnya, iaitu;
Mafhum: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-A’raf, 7:200)
Dan ada juga sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:
“Jika seseorang dalam keadaan marah, lantas ia mengucapkan ‘Audzubillah (aku meminta perlindungan kepada Allah)’ maka, redalah marahnya.” (Hadis Riwayat As-Sahmi, Silsilah al-Ahadis Ash-Shahihah, no. 1376)
Bacaannya sangat ringkas, hanya baca sahaja; أعوذُ بالله مِنَ الشَّيْطانِ الرَّجيمِ dan dengan izin Allah kemarahan itu akan reda secara perlahan-lahan.
Imam Ibn Katsir menyebut bahawa ungkapan ini merupakan salah satu permohonan untuk kita agar terhindar daripada berlakunya perkara-perkara yang negatif.
Apabila seseorang itu berada dalam keadaan marah, fikiran dan perbuatannya akan dibatasi dengan emosi tersebut.
Ada yang sehinggakan boleh bersifat tidak rasional kerana terlalu marah. Disebabkan itu, ungkapan ini adalah sebagai salah satu permohonan kita untuk melindungi diri daripada berlakunya perkara-perkara yang boleh menjejaskan diri sendiri dan juga sekeliling.
Marah yang berlebihan sehingga menyebabkan berlakunya perkara yang negatif juga merupakan salah satu daripada hasutan syaitan.
Disebabkan itu, apabila kita sedang marah, cubalah tahan diri dengan mengingati Allah. Salah satunya adalah dengan mengucapkan ta’awudz.
Bukankah Allah amat menyukai orang yang suka menahan marah?
Maksud: “Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti, seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6114)
Rujukan:
Rumaysho.com
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.