Oleh Fizah Lee • 13 Oct 2020 • 3 min baca
Saya teringat sebuah perumpamaan yang diberikan oleh guru saya sewaktu bangku sekolah. Ia berkenaan perihal membaca doa makan.
Mengapa kita menyebut nama Allah setiap kali sebelum kita makan? Paling kurang pun, jika kita tidak membaca doa, kita pasti akan memulakannya dengan membaca basmallah.
Sebab ia adalah salah satu bentuk syukur yang kita ucapkan kepada Allah kerana makanan itu adalah rezeki dari Allah.
Tapi kan, yang menyediakan makanan itu adalah ibu kita dan beras itu pula dihasilkan oleh petani.
Mengapa kita tidak mengucapkan terima kasih kepada mereka dengan menyebut nama mereka terlebih dahulu sebelum makan?
Kan payah pula kita nak tahu dari mana ia dibekalkan dan siapa yang memasaknya. Alamatnya nanti, tak makanlah kita.
Sebab itu, kita menyebut nama Allah sebelum makan kerana rezeki yang besar dan luas itu adalah dari Allah.
Jadi, selepas itu boleh sahaja mengucapkan terima kasih kepada tukang masak yang menyediakan makanan itu atau kepada ibu anda yang sudah memasak makanan kegemaran anda.
Sebab itulah kita perlu membaca basmallah sebelum makan sebagai tanda syukur kepada Allah.
Dan ada disebutkan dalam beberapa dalil mengenai suruhan untuk memulakan perbuatan makan itu dengan menyebut nama Allah.
Dari ‘Umar bin Abi Salamah, ia berkata: “Waktu aku masih kecil dan berada di bawah asuhan Rasulullah SAW, tanganku ingin mengambil makanan, maka Baginda SAW bersabda:
Maksud: “Wahai Ghulam, bacalah ‘bismillah’, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang ada di hadapanmu.” Maka, seperti itulah gaya makanku setelah itu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 5376)
Dari Hudzaifah, beliau berkata:
“Jika kami bersama Rasulullah SAW ketika menghadiri jamuan makanan, maka tidak ada seorang pun di antara kami yang meletakkan tangannya hingga Rasulullah SAW memulainya.
Dan kami pernah bersama Baginda menghadiri jamuan makan, lalu seorang Arab Badwi datang, lalu tangannya ingin mengambil makanan, namun Rasulullah SAW memegang tangannya.
Kemudian, datang pula seorang budak perempuan yang hendak mengambil makanan, namun Baginda memegang tangannya dan berkata:
Maksud: “Sungguh, syaitan menghalalkan makanan yang tidak disebutkan nama Allah padanya. Syaitan datang bersama orang Badwi ini, dengannya syaitan ingin menghalalkan makanan tersebut, maka aku pegang tangannya. Dan syaitan tersebut juga datang bersama budak wanita ini, dengannya ia ingin menghalalkan makanan tersebut, maka aku pegang tangannya. Demi zat yang jiwaku ada di tanganNya, sesungguhnya tangan syaitan tersebut ada di tangaku bersama tangan mereka berdua.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3766)
Dari Wahsyi bin Harb dari ayahnya, dari datuknya, sahabat Nabi SAW pernah bertanya kepada Baginda SAW;
Maksud: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan dan tidak merasa kenyang.” Baginda bersabda: “Kemungkinan kalian makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab: “Ya.” Baginda bersabda: “Hendaklah kalian makan secara bersama-sama dan sebutlah nama Allah, maka kalian akan diberi berkat padanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3764. Syeikh Al-Albani mengatakan hadis ini sahih)
Jadi, sebelum makan, bacalah doa atau basmallah bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah.
Wallahu a’alam.
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.