Apabila bercakap mengenai kebersihan, rata-rata dari kita sudah faham bahawa kebersihan itu adalah perkara yang perlu dititikberatkan.
Mengapa?
Kalau dari sudut Islam, rata-ratanya sudah mengetahui bahawa ia untuk memudahkan anda melakukan ibadah dalam keadaan suci. Apabila ada najis atau kotoran yang boleh mengakibatkan sesuatu ibadah itu berubah hukumnya.
Namun, bukan itu sahaja hikmahnya. Ada yang lagi besar yang boleh kita nampak, iaitu kebersihan yang berkait dengan kesihatan.
Sebagai contoh, jika sayur yang dimakan tidak dicuci dengan bersih, bimbang jika sayur itu boleh tercemar dengan bakteria sehingga mengakibatkan penyakit E. coli atau salmonella.
Ataupun, jika kawasan tidur kita bersepah dengan pakaian yang kotor atau pinggan yang tidak bercuci, ia boleh menyebabkan kehadiran haiwan-haiwan perosak atau yang mengganggu seperti lipas dan semut.
Disebabkan itu, kita dianjurkan untuk sentiasa menjaga kebersihan sehingga ada hadis yang menyebut bahawa ‘kebersihan itu sebahagian daripada iman.’
Namun, entri kali ini akan mengupas mengenai status hadis ini. Dikatakan dalam pendapat ulama bahawa ia bukanlah kata-kata yang disandarkan kepada Rasulullah SAW.
Syeikh Abdul Aziz bin Baaz RA berkata – “Telah datang dari Nabi SAW bersabda: “Kebersihan sebahagian dari iman. Walau bagaimanapun, hadisnya lemah meskipun maknanya benar.”
Ulama mengatakan bahawa hadis ini adalah lemah kerana tiada sanad yang sahih yang disandarkan kepada Baginda SAW.
Walaupun hadisnya dinilai sebagai lemah, tetapi makna di sebalik ungkapan ini adalah benar dan baik. Jadi, ia boleh diambil sebagai pengajaran tetapi tidak boleh disandarkan kepada Baginda SAW.
Walau bagaimanapun, ada ungkapan yang sama dengannya dan ia merupakan hadis sahih yang telah disandarkan kepada Rasulullah, iaitu;
Maksud: “Bersuci itu sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 328)
Dalam hal ini, ulama menjelaskan bahawa perbuatan bersuci itu yang dinilai sebagai separuh dari iman. Perbuatannya baik dan itulah yang perlu diamalkan oleh setiap manusia.
Disebabkan itu, kebersihan akan dapat dicapai dan inilah yang akan membentuk kepada iman serta perlakuan yang baik.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Konsultasi Syariah
Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Kempen Dakwah Digital
Bantu kami untuk mengerakkan platform dakwah digital ini dengan menerbitkan konten-konten Islamik yang mampu menyentuh jiwa insan lain agar berubah menjadi lebih baik.